Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: Asean 2045, ‘Our Shared Future’ disifatkan sebagai sebuah program ‘futuristik’ buat tempoh 20 tahun akan datang bagi pembentukan ASEAN dengan keberadaan Timor-Leste sebagai negara yang ke-11.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui berkata, ASEAN dilihat sebagai sebuah rantau yang berada di dalam kedudukan ke-4 dari aspek pengukukan ekonomi.
“Dengan program-program perekonomian yang bukan hanya sekadar ‘intra-ASEAN nation’ tetapi ianya mesti dilihat sebagai satu rantau yang stabil apatah lagi jika ada negara yang masih menghadapi permasalahan dalaman, ianya hendaklah diselesaikan demi semangat ASEAN,” beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita seusai menghadiri Majlis Pelancaran dan Sesi Tandatangan Deklarasi Kuala Lumpur pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di KLCC, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut berkata, ASEAN yang mempunyai kadar penduduknya sebanyak 680 juta perlu diberi penekanan khusus buat generasi muda iaitu Z dan Alpha agar dapat menentukan bahawa masa depan mereka benar-benar dapat disusun mengikut ekosistem pendididikan yang baru dan keterbukaan dalam sistem guna tenaga di seluruh negara ASEAN.
Menyentuh mengenai tentangan oleh pihak luar Zahid berkata, negara ASEAN turut mendeklarasikan kumpulan itu sebagai ‘multipolar’ agar soal ‘unipolar’ tidak wujud dan rantau itu kekal selamat demi kepentingan generasi ASEAN pada dua puluh tahun yang akan datang.
Pada masa yang sama, Ahmad Zahid turut menjawab persoalan berkait krisis Myanmar yang mana ASEAN bersetuju untuk menggunakan langkah diplomasi senyapo bagi menyelesaikan konflik di negara itu.
“Kebetulan Malaysia mempengerusikan ASEAN dan beberapa perbincangan telah diadakan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin yang lain.
“Kita tentunya telah melantik perunding untuk menyelesaikan masalah itu, dan pada saya keberadaan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN itu diterima dan ini akan mempermudahkan masalah dalaman di Myanmar,” katanya.








