Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Deklarasi Kuala Lumpur 2025 yang bakal ditandatangani pada 26 dan 27 Mei di Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini, bakal menjadi platform penting buat Malaysia dalam mengukuhkan lagi peranan ASEAN bagi menangkis hegemoni kuasa barat dan luar yang lain.
Pensyarah Perhubungan Antarabangsa, Undang-Undang dan Keselamatan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata pelan strategik yang bakal dilancarkan itu dijangka memberi fokus kepada transformasi serantau ASEAN daripada pendekatan konvensional kepada pendekatan digital dan strategik sebagai persediaan menghadapi realiti geopolitik serantau yang semakin mencabar.
“Saya nampak aspirasi daripada plan strategik yang akan dilancarkan pada 26 dan 27 Mei ini untuk ASEAN, ianya adalah satu usaha untuk membawa Malaysia dan juga ASEAN khususnya melangkah ke hadapan dengan membuat perubahan-perubahan ataupun yang disebut sebagai transformasi yang berubah daripada konvensional kepada digital.
“Maka, Malaysia pada peringkat ini tampak jelas bahawa itulah dunia masa hadapan yang mana ASEAN perlu bergerak selari dan juga mendigitalkan institusi-institusi yang mereka ada supaya tidak ketinggalan.” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Prof. Mohd Mizan menegaskan ASEAN sudah menjadi sebuah keperluan buat negara-negara anggota khususnya di Malaysia dalam memperkukuhkan lagi kesiapsiagaan strategik dalam menghadapi sebarang konflik masa depan, lebih-lebih di era kini yang mana wujudnya persaingan kuasa besar di Laut China Selatan.
“Selain daripada itu, kita juga dapat lihat usaha (Deklarasi KL) ini adalah untuk membawa ASEAN bersedia dalam apa sahaja konflik yang bakal mendatang, terutama sekali apabila kita mengambil kira rantau ASEAN ini menjadi juga tempat ataupun pentas perlumbaan bagi kuasa-kuasa besar terutama sekali di Laut Cina Selatan.
“Bila perkara macam ini berlaku, kita perlu bersedia dan persiapan ataupun disebut sebagai kesiapsiagaan strategik itu sangat penting,” ujarnya.
Beliau turut menyeru supaya ASEAN dapat membina kekuatan dalaman bagi menolak dominasi kuasa luar yang cuba mengawal sumber-sumber strategik rantau ini.

“Kita harus ada satu perancangan strategik di peringkat ASEAN untuk menolak elemen-elemen hegemoni Barat dan terutama sekali hegemoni kuasa besar termasuk Cina dan juga Rusia atau sebagainya.
“ASEAN itu sendiri harus ada kesiapsiagaan, harus ada ketahanannya sendiri,” ujarnya.
Menyentuh berhubung konteks Malaysia selaku ‘Tuan Rumah’ serta pengerusi ASEAN tahun ini, Mohd Mizan menyatakan negara sedang merintis satu landskap baharu hubungan antarabangsa yang lebih seimbang yang mana ianya tidak hanya bergantung kepada negara-negara Barat sahaja.
“Saya fikir status Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada ketika ini memang amat jelas bahawa kita sedang membawa ASEAN kepada satu landskap hubungan yang lebih besar dan lebih seimbang,” kata beliau.
Beliau turut berpendapat, gabungan pengaruh Barat, China serta negara-negara Teluk yang lain bakal memberikan ASEAN sebuah impak yang strategik sebagai kuasa yang disegani di pentas dunia, khususnya bagi kumpulan negara ‘Global South’.
“Sekiranya kita dapat melibatkan ketiga-tiga elemen ini dalam ASEAN, maka secara tidak langsung kita akan dapat membina satu kekuatan yang mana ASEAN ataupun negara ‘Southeast Asia’ ini tidak lagi dipandang sepi tetapi kita boleh menjadi kuasa penentu,” tambah beliau.
Pada masa yang sama, beliau turut menekankan betapa pentingnya Deklarasi Kuala Lumpur ini di dalam rantau ASEAN yang mana ia dilihat sebagai pemain utama dalam membentuk kestabilan dan keamanan global sejagat berlandaskan kekayaan sumber serta kedudukan yang strategik.
“Maknanya kita tidak mahu lagi menjadi pelengkap tapi kita menjadi satu organisasi yang diangkat dan dirujuk dalam apa sahaja situasi yang boleh maknanya menggugat kestabilan dan juga keamanan rantau ASEAN ini.”
Tambah beliau, Deklarasi Kuala Lumpur bukan sahaja dilihat sebagai dokumen dasar, tetapi sebagai langkah konkrit buat ASEAN dalam membina pertahanan bukan secara ketenteraan, termasuk diplomatik, ekonomi dan siber demi mendepani cabaran global mendatang.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyifatkan Deklarasi Kuala Lumpur itu sebagai kemuncak kepada kerjasama yang erat antara pemimpin politik, cendekiawan dan pegawai kanan kerajaan.
Kata beliau, ia merupakan cerminan terhadap komitmen bersama ASEAN untuk bergerak melangkaui retorik kepada tindakan sebenar dalam isu-isu penting pada masa hadapan.
Terdahulu media melaporkan, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa Deklarasi Kuala Lumpur bakal dilancarkan secara rasmi semasa berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Malaysia.
Ujar Fahmi, deklarasi itu merupakan beberapa dokumen utama yang mencerminkan aspirasi strategik ASEAN semasa di bawah kepengerusian Malaysia.
Sebagai rekod, Malaysia kini memegang jawatan Pengerusi ASEAN buat tahun 2025 dengan mengambil tema sebagai memperkukuh daya tahan komuniti, kelestarian ekonomi dan kesiapsiagaan masa depan.
Malaysia turut menjadi Tuan Rumah buat Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bakal berlangsung pada 26 hingga 27 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 27 Mei ini.
Dalam pada itu, dua mesyuarat peringkat tinggi penting turut akan diadakan iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang djangka menjadi platform penting buat memperluaskan lagi kerjasama serantau dan antara serantau.
Baca juga: