Delegasi Malaysia Capai Matlamat Perkukuh Kerjasama Strategik Di Nairobi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan lawatan rasmi singkat ke Nairobi dengan kejayaan yang disifatkan sebagai pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Kenya.

Dalam satu hantaran beliau sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, Anwar berkata, misi Diplomasi MADANI kali ini telah membuka ruang kerjasama lebih luas merentasi pelbagai sektor strategik.

“Secara keseluruhan, misi singkat Diplomasi MADANI di Nairobi ini telah mencapai matlamat dalam memperkukuh hubungan dua hala serta membuka ruang kerjasama yang lebih luas merentasi pelbagai sektor strategik antara Malaysia dan Republik Kenya,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Dr William Samoei Ruto dan Kerajaan Republik Kenya atas layanan mesra sepanjang lawatan.

“Terima kasih Presiden Dr William Samoei Ruto dan Kerajaan Republik Kenya atas layanan yang cukup baik kepada saya dan delegasi Malaysia,” ujarnya.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyampaikan penghargaan kepada seluruh pasukan kementerian, agensi terlibat, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, petugas keselamatan serta rakan-rakan media yang memastikan kelancaran setiap susunan program.

“Salut saya juga kepada seluruh pasukan kementerian serta agensi terlibat, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, para petugas keselamatan dan rakan-rakan media yang telah memastikan kelancaran setiap susunan program. Asante, Nairobi,” katanya.

Anda Mungkin Berminat