PETALING JAYA: Sebuah acara global ‘Earth Hour’ bakal berlangsung pada jam 8:30 malam ini bagi menggalakkan orang ramai menutup lampu selama 60 minit meningkatkan kesedaran tentang isu menjejaskan alam sekitar.
Memetik berita tempatan, beberapa bangunan mercu tanda yang gah di seluruh dunia turut akan bergelap selama satu jam.
Untuk rekod, Earth Hour mula dipelopori oleh World Wildlife Fund (WWF) pada tahun 2007.
Badan amal itu berhasrat menggariskan kepentingan menangani perubahan iklim dan melindungi alam semula jadi, satu isu yang perlu diambil berat oleh setiap individu.
Earth Hour berfungsi sebagai peringatan bahawa setiap individu perlu memainkan peranan dalam menjaga planet ini. Ia mencetuskan perbualan, meningkatkan kesedaran dan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mengambil tindakan.
Walaupun kesan mematikan lampu selama satu jam mungkin kelihatan minimum, kuasa sebenar terletak pada tindakan secara kolektif dan bagaimana setiap usaha kecil adalah penting. Apabila seluruh dunia bersatu untuk tujuan yang sama, ia boleh membawa kepada perubahan signifikan.
Orang ramai boleh sama sama mengikuti ‘Earth Hour’ ini dengan mematikan lampu di rumah masing-masing selama satu jam.