Demi Gaza, Malaysia kecualikan cukai atas produk Palestin

PETALING JAYA: Malaysia bersetuju mengecualikan beberapa produk pertanian dari Palestin daripada dikenakan duti kastam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, langkah itu merupakan sebagai daripada usaha Malaysia dalam membantu Palestin membangunkan semula ekonomi dan menjadikan ia asas kepada pemulihan sosioekonomi mereka.

“Malaysia berdiri teguh bersama Palestin. Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan Palestin bagi merealisasikan manfaat bersama untuk rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Menerusi kenyataan media pada Jumaat, beliau menyatakan Malaysia bersama Palestin kini mencapai persetujuan untuk memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama ekonomi menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Perdagangan dan Kerjasama Ekonomi.

Difahamkan, MoU tersebut menjadi landasan kepada kerjasama lebih erat dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi, sekali gus membuka peluang baharu untuk perniagaan serta rakyat kedua-dua negara.

Pertukaran dokumen MoU itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob bagi pihak Kerajaan Malaysia dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali bagi pihak Negara Palestin.

Ia turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 2024, Palestin muncul sebagai rakan dagang ke-15 terbesar Malaysia di rantau Asia Barat. Eksport utama Malaysia ke Palestin adalah produk berasaskan plastik dan makanan terproses, manakala import utama dari Palestin ialah hasil pertanian termasuk buah kurma.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat