Demo ‘Turun Anwar’ hanya gimik politik, bukan tentang rakyat – Shamsul Iskandar

PETALING JAYA: Himpunan “Turun Anwar” yang dijadual berlangsung 26 Julai ini disifatkan sebagai usaha bermotif politik dengan tujuan mengekalkan pengaruh menjelang pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata ia bukannya mewakili suara rakyat yang kecewa seperti dakwaan penganjur. Katanya, niat sebenar mereka lebih bersifat kepentingan peribadi.

“Ini bukan tentang rakyat, sebaliknya kumpulan kecil yang ingin memanipulasi keadaan selepas gagal meraih mandat di peti undi,” katanya memetik laporan media tempatan pada Khamis.

Terdahulu, Perikatan Nasional menyasarkan kehadiran seramai 300,000 peserta di Dataran Merdeka, dengan protes pada 6 Julai lalu di Shah Alam disertai sekitar 300 orang.

Shamsul menegaskan kerajaan kini sedang melaksanakan tanggungjawab yang diberikan secara sah melalui pilihan raya bebas dan adil, termasuk membaik pulih kerosakan institusi serta memperkukuh tadbir urus dan pengurusan fiskal.

“Demokrasi tidak boleh diperbaiki dengan melanggarnya,” katanya sambil mengingatkan agar semua pihak menghormati proses demokrasi.

Shamsul juga berkata, sekiranya perubahan dikehendaki, saluran yang betul adalah melalui pilihan raya, bukannya protes jalanan.

“Ini bukan gerakan menuntut keadilan, tetapi persembahan politik demi kekal relevan,” katanya lagi.

Demo ‘Turun Anwar’ akan berlangsung di ibu negara pada 26 Julai ini dan dijangka dihadiri seramai 300,000 peserta.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat