Demonstrasi Jalanan Bukan Medan Kekerasan, Tapi Wadah Suara Rakyat

PETALING JAYA: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan rakyat bahawa demonstrasi bukanlah medan untuk mencetuskan kekacauan, sebaliknya ruang sah untuk menyampaikan suara dan pandangan kepada pihak berkuasa secara aman.

Tokoh yang sinonim dengan perjuangan gerakan Bersih sejak awal itu menekankan pentingnya disiplin dan tanggungjawab dalam setiap perhimpunan awam.

“Kalau boleh, pasu bunga pun jangan terbalik. Kalau ada perkara yang tak betul, kita lawan di mahkamah, bukan dengan tangan atau kaki,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu menyeru peserta demonstrasi agar sentiasa konsisten dalam menjaga ketertiban.

“Jangan usik harta orang, jangan baling batu, dan jangan rosakkan apa-apa,” pesannya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya ditangkap beberapa kali ketika menyertai demonstrasi, namun tetap mengekalkan hubungan baik dengan pihak polis kerana memahami mereka hanya menjalankan tugas.

Menurut Mat Sabu, trend baharu yang menjurus kepada keganasan dalam tunjuk perasaan amat membimbangkan dan berpotensi mencetuskan rusuhan serta pertumpahan darah sesama rakyat mahupun dengan anggota keselamatan.

“Kalau ini berlaku, tiada siapa yang untung, sebaliknya negara yang rugi,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa demonstrasi tidak boleh dibiarkan lepas kawalan kerana boleh mengundang bahaya besar kepada negara.

“Kita turun bukan untuk pukul orang atau lawan polis tapi untuk sampaikan suara, teguran dan pandangan. Itu saja,” ujarnya.

Mat Sabu sebelum ini merupakan antara tokoh politik paling aktif dalam gerakan Bersih 1 hingga Bersih 5 yang memperjuangkan pilihan raya bersih dan adil.

Anda Mungkin Berminat