KUALA LUMPUR: Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan denda RM100,000 masing-masing terhadap Sin Chew Daily dan Sinar Harian baru-baru ini mencetuskan perdebatan hangat, termasuk ada pihak yang menyifatkannya sebagai “belum pernah berlaku” dan “berbahaya.”
Namun, dari sudut profesionalisme kewartawanan, langkah itu dilihat sebagai usaha memperkukuh etika serta tanggungjawab media, bukannya menyekat kebebasan bersuara.
Menurut Ketua Cabang PKR Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi, hujah bahawa tindakan ini berbahaya adalah kurang tepat kerana kebebasan media tidak bermaksud kebebasan menyebarkan maklumat salah tanpa sebarang akibat.
“Media mempunyai pengaruh besar terhadap pandangan awam, justeru kebebasan itu datang bersama tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat yang tepat, adil dan boleh dipercayai,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau yang juga peguam berkata dalam kes Sin Chew Daily, kesilapan menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang dengan elemen yang hilang tidak boleh dianggap remeh walaupun alasan diberikan bahawa ia berpunca daripada kecuaian penggunaan kecerdasan buatan (AI).
“Simbol kedaulatan negara tidak boleh dipandang enteng. Dengan pengalaman puluhan tahun, akhbar sepatutnya mempunyai kawalan kualiti yang ketat.
“Jika denda ini dianggap berbahaya, maka kesilapan bendera itu sebenarnya lebih berbahaya kerana mencetuskan kekecewaan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Sinar Harian pula didapati melakukan laporan palsu yang mengaitkan Ketua Polis Negara dengan sebuah parti politik. Kesalahan ini, jelas beliau, lebih serius kerana berpotensi menjejaskan reputasi peribadi dan kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan negara.
“Menuduh seseorang secara palsu jauh lebih bahaya daripada jumlah denda yang dikenakan, apatah lagi melibatkan tokoh keselamatan tertinggi negara,” tambahnya.
Terdahulu, MCMC menjelaskan bahawa kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan denda dikenakan mengikut Seksyen 243 akta sama, setelah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara.
Menurut Asheeq, tindakan ini bukanlah hukuman sewenang-wenangnya, sebaliknya satu isyarat jelas bahawa kecuaian dalam penyuntingan serta pengesahan maklumat tidak boleh diterima.
Beliau menegaskan bahawa denda tersebut wajar dilihat sebagai langkah pencegahan untuk memastikan media meningkatkan standard kewartawanan, sekali gus memelihara integriti maklumat yang disampaikan kepada masyarakat.
“Ini bukan soal mengawal media, tetapi memperkasakan media untuk lebih beretika dan profesional. Dengan meningkatkan standard, media negara akan lebih diyakini dan kekal relevan dalam landskap digital yang pesat berubah,” katanya.
Baca juga: