PETALING JAYA: Landskap desa yang dahulunya gersang dan terpinggir kini mengalami transformasi luar biasa menerusi inisiatif terbaharu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dikenali sebagai ‘Desa Kirana’.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, program itu memacu pembangunan desa terpilih melalui pemerkasaan elemen warisan budaya, keindahan alam semula jadi, gastronomi tempatan, kraftangan dan pelbagai aktiviti desa yang autentik.
“Saya mahu melihat satu hari nanti, ceruk desa kita, dari Arau ke Kudat, dari pedalaman Sabah hingga ke pesisir Sarawak menjadi destinasi pelancong dunia.
“Seperti Lauterbrunnen di Switzerland, Hobbiton di New Zealand, Shirakawa-go di Jepun dan Ubud di Bali, Indonesia, tempat-tempat yang pernah sunyi tetapi kini berdiri megah di peta pelancongan global,” katanya.
Menurut beliau, antara kejayaan terawal inisiatif itu adalah projek pemajuan Tasik Kenyir, yang kini sedang giat dibangunkan sebagai destinasi pelancongan ikonik dengan potensi besar untuk menyumbang kepada industri pelancongan nasional.
“Saya mahu KETENGAH memacu transformasi pelancongan Tasik Kenyir melalui inisiatif Desa Kirana yang menjadikannya destinasi ikonik yang menyumbang kepada kejayaan Visit Malaysia,” ujarnya.
Berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Julai di Dewan Seri Lestari, beliau turut menggesa semua Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) seperti KETENGAH, KESEDAR, KEDA, PERDA dan KEJORA agar kembali kepada asas penubuhan iaitu membangunkan ekonomi setempat, memperkukuh sistem pendidikan dan menjana pendapatan wilayah masing-masing.
Pada masa yang sama, beliau turut menekankan keperluan untuk merevolusikan latihan kakitangan KKDW menerusi penguasaan teknologi baharu.
“Kemajuan desa tidak bermula di luar sana, ia bermula di sini, di KKDW,” katanya sambil menyeru penerapan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) agar KKDW terus memacu Malaysia ke era desa digital yang progresif.







