Dewan Perwakilan AS Undi Henti Perang Iran, Tamparan Buat Trump

AMERIKA SYARIKAT: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat meluluskan satu usul yang bertujuan menghentikan Presiden Donald Trump daripada mengambil tindakan ketenteraan lanjut terhadap Iran.

Memetik laporan BBC News, undian 215-208 itu berjaya selepas empat ahli Republikan menyertai Demokrat dalam satu tindakan jarang berlaku yang menunjukkan penolakan terbuka terhadap perang yang bermula pada Februari lalu.

Ini merupakan kali keempat Dewan cuba mengehadkan kuasa perang Trump, yang menurut pengkritik tidak mendapat kelulusan Kongres.

Usul Dewan itu masih memerlukan kelulusan Senat yang dikuasai Republikan.

Walaupun berjaya di Senat, langkah itu dijangka tidak mampu sepenuhnya menghentikan tindakan ketenteraan terhadap Iran.

Trump juga boleh menggunakan kuasa veto, yang memerlukan majoriti dua pertiga di kedua-dua dewan untuk menolaknya.

Walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata, kedua-dua pihak AS dan Iran masih bertukar serangan dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Sebelum undian, Trump sekali lagi menegaskan bahawa rundingan untuk menamatkan perang sedang berjalan ‘dengan sangat baik’ dan mungkin dimuktamadkan hujung minggu ini.

Republikan Thomas Massie, Brian Fitzpatrick, Tom Barrett, dan Warren Davidson menyertai barisan Demokrat untuk meluluskan usul pada Rabu.

Demokrat Jared Golden dari Maine, yang sebelum ini menolak langkah serupa, kali ini memberikan sokongan.

Senat telah meluluskan resolusi serupa pada Mei, namun perlu membincangkan versi yang dibawa oleh Dewan.

Wakil Gregory Meeks, Demokrat utama dalam Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan, menyifatkan undian itu sebagai satu tamparan bipartisan.

“Satu tamparan bipartisan yang signifikan terhadap perang Trump di Iran yang haram dan mahal, serta langkah pertama untuk menamatkannya sekali gus,” katanya.

Tambah Meeks, Trump gagal mencapai matlamat perang yang dinyatakan, malah mendorong kenaikan harga bahan api di dalam negara dan menyukarkan penyelesaian diplomatik terhadap program nuklear Iran.

“Kelulusan (usul) hari ini menandakan titik perubahan penting. Semakin ramai Republikan mendengar suara pengundi mereka yang tidak mahu satu lagi perang tanpa penghujung di Timur Tengah,” kata Meeks yang turut menjadi penaja bersama resolusi itu.

Anda Mungkin Berminat