Dewan Rakyat lulus RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025

PARLIMEN: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang menjadi asas kepada penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.

Speaker, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan, perkara itu diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen menerusi undian belah bahagian.

“Seramai 148 ahli Parlimen bersetuju untuk meluluskan RUU tersebut, 57 tidak mengundi dan 17 lagi tidak hadir,” katanya di Dewan Rakyat.

Sebelum itu, RUU berkenaan dibahaskan oleh 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 sebelum itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada minggu lalu, diikuti pembentangan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 56 dan Perkara 57 dengan memasukkan Fasal baharu (5A).

Dengan kelulusan itu, maka RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 yang kini di peringkat bacaan kali pertama, boleh diteruskan untuk bacaan kali kedua seterusnya dibahaskan oleh Ahli Parlimen.

RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 adalah bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen yang menjadi suatu perkhidmatan berasingan daripada perkhidmatan awam.

Anda Mungkin Berminat