Dewan Rakyat Tangguh Usul Gantung Takiyuddin

PARLIMEN | Dewan Rakyat menangguhkan usul untuk menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, berhubung kenyataannya yang mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan peristiwa Memali.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, keputusan itu dibuat selepas mendengar hujah daripada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

“Kita memahami dan selepas dengar hujah semua dan menimbang hujah-hujah diberikan.

“Maka bagi pihak kerajaan saya memohon supaya usul ini ditangguhkan dan dibawa ke sesi akan datang,” katanya ketika menggulung usul berkenaan.

Sebelum itu, seramai empat Ahli Parlimen tampil berbahas mengenai usul untuk menggantung Takiyuddin selama enam bulan.

Mereka ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Takiyuddin sendiri, Syahredzan Johan (PH-Bangi) dan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai).

Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) memohon agar usul tersebut dipinda dengan merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Kalau sekiranya menteri boleh meminda usul ini dan merujuk saya kepada jawatankuasa.

“Saya masih lagi seorang ketua whip dan saya akan arahkan rakan untuk terima jadi tidak perlu buat (undi) belah bahagi.

“Berikan saya prosiding yang adil dan berikan saya hak untuk bersuara serta hak untuk mempertahankan diri sendiri,” katanya ketika membahaskan usul itu.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, kemudian memaklumkan bahawa pengundian usul ditangguhkan dan terpulang kepada pihak kerajaan untuk meneruskannya pada sesi akan datang.

Terdahulu, suasana Dewan Rakyat menjadi kecoh apabila beberapa wakil rakyat pembangkang membantah usul yang dibentangkan Shamsul untuk menggantung Takiyuddin selama enam bulan.

Anda Mungkin Berminat