Di bawah kepengerusian Malaysia, 80 dokumen ASEAN lulus

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Sebanyak 80 dokumen berjaya diluluskan ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berada di bawah kepengerusian Malaysia baru-baru ini.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata pencapaian itu menggambarkan keupayaan Malaysia memimpin ASEAN dengan pendekatan yang inklusif, progresif dan berprinsip.

“Penerimaan 80 dokumen ini bukan sekadar angka, tetapi lambang kepada komitmen teguh ASEAN di bawah pimpinan Malaysia untuk melangkah ke fasa baharu lebih terbuka, lebih bersatu dan lebih berdaya tahan,” katanya di sidang media taklimat harian Perdana Menteri pada Rabu.

Nashrul menjelaskan, sebanyak 80 dokumen yang diluluskan itu merangkumi pelbagai bidang strategik termasuk Kenyataan Bersama Pemimpin ASEAN dengan Amerika Syarikat, Jepun, India, Australia dan New Zealand, di samping hasil daripada Sidang Kemuncak ASEAN+3, Sidang Asia Timur (EAS), Pemimpin AZEC dan Pemimpin RCEP.

Kata beliau, kesemua dokumen tersebut mencerminkan agenda besar Malaysia dalam memastikan ASEAN terus menjadi rantau yang berpaksikan undang-undang, berdaya saing dan berorientasikan rakyat.

“Kepengerusian Malaysia tahun ini tidak hanya tentang diplomasi, tetapi juga tentang tindakan.

“Ia tentang bagaimana kita menjelmakan tema Keterangkuman dan Kemampanan menjadi realiti dalam setiap dasar dan keputusan bersama,” jelas beliau.

Sidang yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober turut memperlihatkan detik bersejarah apabila Timor-Leste diterima secara rasmi sebagai anggota ke-11 ASEAN, serta termeterainya Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) antara Thailand dan Kemboja yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

“Perjanjian KL Accord itu adalah bukti nyata bahawa Malaysia bukan sekadar menjadi tuan rumah, tetapi bertindak sebagai pemudah cara kepada keamanan serantau,” katanya lagi.

Dari segi ekonomi, Malaysia turut memacu dua inisiatif utama melalui penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA 3.0), yang bakal membuka laluan kepada peluang perdagangan digital dan hijau yang lebih luas, khususnya buat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, fokus Malaysia jelas memastikan ASEAN bukan sahaja berkembang dari segi ekonomi, tetapi turut membangunkan masyarakat yang inklusif dan sejahtera,” ujar beliau.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan kerajaan, agensi keselamatan, sukarelawan dan media yang bertugas sepanjang sidang berlangsung.

“Kejayaan ini milik semua rakyat Malaysia. Ia hasil kesungguhan dan disiplin setiap petugas yang memastikan sidang kemuncak berprofil tinggi ini berjalan lancar tanpa sebarang kecacatan,” katanya.

Tunku Nashrul menegaskan bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan aktif di pentas antarabangsa, termasuk pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di Korea Selatan pada hujung bulan ini, dengan membawa agenda keterangkuman ekonomi digital dan pembangunan mampan.

“Misi diplomasi Malaysia tidak berhenti di sini. Ia akan diteruskan di APEC dan forum-forum global lain, demi menjadikan Malaysia suara yang berprinsip, progresif dan dihormati di peringkat dunia,” tegas beliau.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat