SINTOK: Ketika sebahagian besar pelajar menamatkan pengajian Doktor Falsafah dalam suasana kondusif dan selesa, seorang pemuda Palestin membuktikan bahawa ilmu masih mampu hidup walaupun di bawah bayangan peluru dan runtuhan perang.
Mohammed Fadil Hussein Elmassarey berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (Keusahawanan) di Universiti Utara Malaysia (UUM) selepas mempertahankan tesisnya secara dalam talian dari Gaza yang sedang bergolak, dalam keadaan serba terbatas dan penuh risiko keselamatan.
Sesi ‘viva voce’ yang berlangsung pada 3 Februari lalu terpaksa dijalankan di sebuah bilik pinjaman dengan kemudahan elektrik dan internet minimum, selepas beliau gagal keluar dari Gaza berikutan penutupan sepenuhnya sempadan wilayah itu.
“PhD ini bukan untuk saya seorang. Ini untuk Gaza,” kata Mohammed Fadil sambil merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UUM yang terus memberi sokongan tanpa pernah memutuskan harapan beliau.
Menurut penyelia bersama, Dr. Maliani Mohamad, perjalanan akademik Mohammed Fadil sarat dengan ketidaktentuan apabila konflik yang tercetus pada Oktober 2023 memusnahkan kediaman keluarganya dan memaksa beliau berpindah-randah lebih 10 kali demi keselamatan.
“Kami beberapa kali terputus hubungan dengannya dan sangat bimbang. Namun tekadnya untuk menamatkan PhD tidak pernah luntur,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi UUM.
Beliau dibimbing oleh Profesor Madya Dr. Norashidah Hashim selaku penyelia utama yang menyifatkan kejayaan itu sebagai amat bermakna, memandangkan Mohammed Fadil merupakan pelajar PhD terakhir beliau sebelum bersara pada Julai ini.
“Alhamdulillah, beliau berjaya menamatkan viva dengan keputusan lulus pindaan kecil. Kisahnya wajar dijadikan inspirasi bahawa cabaran bukan alasan untuk berputus asa,” katanya lagi.
Dengan hanya sebuah komputer riba yang diselamatkan daripada runtuhan, Mohammed Fadil meneruskan penulisan tesis bertajuk ‘Entrepreneurship Education on Entrepreneurial Success: The Role of Mentoring and Political Uncertainty in the Gaza Strip–Palestine’ di tengah kekangan elektrik, internet dan ancaman nyawa.
Bagi Mohammed Fadil, segulung PhD itu bukan sekadar pencapaian akademik, sebaliknya simbol ketabahan dan harapan bahawa ilmu tetap mampu berkembang walaupun di tengah kehancuran perang.








