‘Dia Lebih Pilih Anak Selamat Daripada Dirinya’ — Suami Ain Farhana

PETALING JAYA: Dalam detik yang sepatutnya penuh kegembiraan menyambut kelahiran anak kedua, seorang wanita muda berusia 27 tahun, Ain Farhana Mohd Fadzli, menghembuskan nafas terakhir sejurus selepas bersalin.

Beliau tidak sempat menatap atau menyusukan bayinya, namun pengorbanannya menjadikan dirinya syahid di sisi Allah.

Ain Farhana mengalami komplikasi pendarahan di bahagian otak ketika proses melahirkan anak.

Menurut sukarelawan jenazah terkenal menerusi beberapa hantaran di Facebook, Wan Cai, pemergian Ain dianggap sebagai syahidah kerana meninggal dunia dalam perjuangan melahirkan zuriat.

“Ya Allah, dia adalah ibu dan isteri terbaik. Dia lebih pilih anaknya diselamatkan daripada dirinya,” antara kata yang diungkapkan oleh suaminya sehingga menyentuh hati ribuan netizen.

Jenazah Ain Farhana disempurnakan dengan penuh penghormatan dan suasana pilu menyelubungi pengebumian yang turut dihadiri ahli keluarga dan sahabat terdekat.

Anak sulung mereka yang baru berusia dua tahun masih belum mengerti erti kehilangan seorang ibu.

Berita ini tular di media sosial dengan ribuan ucapan takziah dan doa mengiringi pemergian Ain Farhana.

Ramai menyifatkan beliau sebagai lambang pengorbanan seorang ibu yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi kelahiran anak tercinta.

Ain Farhana tidak sempat berpantang di dunia, namun InshaAllah, syurgalah tempat peristirahatannya.

Semoga keluarga yang ditinggalkan diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini.

Anda Mungkin Berminat