‘Diam Bukan Pilihan Apabila Agama Dihina’ – Sultan Pahang

KUANTAN: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap insiden memijak al-Quran yang disifatkan sebagai perbuatan biadab serta berpotensi menggugat keharmonian negeri dan negara.

Baginda bertitah, tindakan tersebut bukan sahaja menghina kesucian wahyu, malah mengguris perasaan umat Islam serta mencabar asas saling menghormati yang menjadi tunjang perpaduan masyarakat.

“Apabila al-Quran dipijak, yang tercalar bukan sekadar helaian kertasnya tetapi kesucian wahyu dan maruah umat.

“Dalam keadaan agama dihina, berdiam diri bukan satu pilihan. Diam melambangkan lemahnya jiwa dan pudarnya maruah,” titah Baginda.

Dalam titahnya, Baginda turut memetik ungkapan tokoh ulama tersohor, Buya Hamka, “Jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan.”

Baginda bertitah, kata-kata itu bukan seruan kepada keganasan, sebaliknya peringatan tentang kewajipan moral mempertahankan maruah agama.

“Namun, mempertahankannya hendaklah dengan hikmah, beradab dan berpandukan undang-undang,” titah Baginda ketika merasmikan Masjid Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di FELDA Jengka 19, Maran.

Al-Sultan Abdullah menekankan bahawa Islam menuntut ketegasan dalam lingkungan keadilan, tanpa membenarkan tindakan melulu yang boleh menjejaskan keamanan.

“Kita tidak boleh membiarkan penghinaan berlaku, namun kita juga tidak boleh bertindak sehingga meruntuhkan keamanan.

“Jika emosi mengatasi akal, semua pihak akan rugi.

“Sebagai Ketua dan Pelindung Agama Islam Negeri Pahang, saya menegaskan sebarang penghinaan terhadap Islam mesti ditangani secara tegas tanpa kompromi menurut lunas undang-undang,” titah Baginda.

Baginda turut mengingatkan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina agama.

Adat paling utama di negeri ini, titah Baginda, ialah menghormati agama sebagai tunjang kehidupan.

Pada masa sama, Baginda bertitah, mempertahankan kesucian Islam tidak bermaksud menafikan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing secara aman.

Anda Mungkin Berminat