Didikan pelajar adalah tanggungjawab bersama – PM

Pendidikan merupakan isu mendesak dan besar selain, ia tidak ada rugi untuk menyantuni guru dalam cuba menyelesaikan serta mendengar keluhan mereka termasuk pelarasan gaji guru.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika majlis Sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) yang berlangsung pada Sabtu.

“Saya kongsikan jaminan dan hasrat kerajaan untuk mengadakan sesi libat urus dengan lebih kerap bersama kesatuan pekerja terutamanya guru,” ujarnya.

Menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya, beliau turut menekankan bahawa peranan mendidik seseorang pelajar merupakan tanggungjawab bersama, dan tidak seharusnya disandarkan sepenuhnya kepada guru semata-mata.

“Hatta, ia menuntut kebersamaan semua pihak termasuk ibu bapa bagi membentuk sahsiah, jati diri dan perilaku seseorang murid atau pelajar di negara ini.

“Sebelum itu, saya sempat titipkan pesanan supaya penekanan khusus perlu diberikan kepada penguasaan Bahasa Inggeris dalam negara menuju ke arah transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) untuk melonjakkan ekonomi negara,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat