WALAUPUN diberi penerangan, fakta dan data daripada sumber sahih, namun isu bekalan diesel melibatkan Filipina terus hangat diperkatakan di media sosial.
Terdapat segelintir netizen tampil memberi pencerahan, namun kekeliruan masih berleluasa apabila ramai dikatakan lebih cenderung mempercayai khabar angin.
Seorang pengguna Threads, @rfqzn.rz, menjelaskan bahawa diesel yang dihantar ke Filipina merupakan produk yang telah ditempah dan diproses di kilang penapisan di Malaysia.
“Filipina menempah produk akhir, iaitu diesel, yang diproses di kilang penapisan di Malaysia.” Tulisnya.
Menurutnya, cadangan supaya diesel berkenaan digunakan untuk keperluan domestik adalah tidak wajar kerana ia melibatkan urus niaga yang telah dimeterai.
“Abang dan kakak semua, kita ni negara lanun ke sampai nak kena sailang minyak orang lain?” Soalannya sinis kepada netizen yang dilihat tidak mahu menerima fakta.
Bagaimanapun, di sebalik penjelasan itu, masih terdapat pihak yang terus mempersoalkan isu berkenaan tanpa memahami keseluruhan rantaian industri minyak dan gas.
Pengguna lain, @is.raif, berpandangan situasi itu berpunca daripada kurangnya kefahaman mengenai ekonomi dan percukaian.
“Orang kita tak faham ekonomi, nak macam-macam tapi cukai elak,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @atikaathirah, turut melahirkan kebimbangan terhadap penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh mempengaruhi pandangan masyarakat.
Perkembangan itu menunjukkan walaupun terdapat netizen yang memahami isu sebenar, penyebaran maklumat tidak sahih masih memberi kesan besar terhadap persepsi awam.
Baca juga:








