PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan Amanat Tahun Baru 2026 dengan tema ‘Memodenkan Sistem Kesihatan, Melonjakkan Mutu Perkhidmatan’.
Beliau berkata, tahun 2026 bukan lagi masa untuk bergerak secara ‘incremental’ tetapi tahun pelaksanaan tuntas bagi memastikan sistem kesihatan negara benar-benar sedia menghadapi masa depan, berfokus kepada masa depan dan terjamin untuk masa depan.
“Tahun 2025 adalah tahun kita bertahan dan membaiki ‘kapal yang sedang berlayar’ tetapi tahun 2026 adalah tahun pelaksanaan tuntas.
“Masanya telah tiba untuk melakukan perubahan struktur,” katanya.
Menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai ketangkasan perkhidmatan awam dan Ekonomi MADANI, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggariskan empat lonjakan utama.
“Kesihatan digital bukan lagi sekadar pemudah cara, ia kini menjadi tulang belakang,” katanya.
Tahun ini, sistem CCMS akan diperluas ke 2,489 fasiliti primer manakala THIS ke 16 hospital.
Visi ‘One Patient, One Record’ akan direalisasikan melalui platform NHIP, sekali gus menoktahkan sistem manual yang membebankan.
Dalam aspek kebajikan warga kerja, Dr Dzulkefly menekankan komitmen melantik tetap 4,500 Pegawai Perubatan dan 935 Jururawat pada tahun ini.
“Lebih penting, segala urusan penempatan dan kenaikan pangkat akan diuruskan menerusi Integrated HR Dashboard yang telus dan berasaskan data.
“Tiada lagi ‘kabel’, tiada lagi pilih kasih. Kita mesti menghargai warga kita dengan penuh maruah dan keadilan,” katanya.
Beliau turut menegaskan pendirian tegas terhadap ancaman rokok dan vape.
“Tiada kompromi terhadap ancaman rokok dan vape.
“Kita akan memperketatkan penguatkuasaan Akta 852 dan menyasarkan pengharaman ‘open system vape’ demi melindungi generasi masa depan daripada NCD dan ‘popcorn lung’,” katanya.
KKM juga mahu mengubah naratif daripada sekadar ‘Sick-Care’ kepada ‘Health-Care’.
Serentak dengan itu, kementerian mendukung agenda ekonomi negara melalui Tahun Pelancongan Perubatan (MyMT) dengan sasaran pulangan RM15 bilion menjelang 2030.
Dr Dzulkefly menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai peruntukan RM150 juta hasil penjimatan subsidi SARA khusus untuk pembelian peranti perubatan bagi pesakit miskin.
“Inilah inti pati ekonomi MADANI, pertumbuhan dengan kesaksamaan dan belas ihsan,” katanya.
Selain itu, kelonggaran tatacara perolehan akan mempercepatkan pembaikan klinik daif di seluruh negara.
Dr Dzulkefly turut menyeru seluruh warga KKM untuk bersatu hati dan memecahkan tembok silo.
“Perjalanan reformasi ini panjang dan berliku. Saya menyeru seluruh warga KKM untuk memecahkan tembok pemisah (silos) dan bergerak sederap sebagai ‘One Team’.
“Marilah kita laksanakan amanah ini bukan sekadar tuntutan kerja tetapi sebagai satu amal ibadah untuk negara dan rakyat tercinta,” katanya.








