PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret dekat sini menjatuhkan hukuman penjara lima bulan ke atas seorang wanita yang bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah kedai emas di Putrajaya telah didakwa atas kesalahan pecah amanah melibatkan kerugian barang kemas bernilai RM208,488.
Barang kemas yang diambil seberat 521.22 gram emas 916 itu dilaporkan telah dijual kepada pihak kedai pajak oleh tertuduh.
Selain itu, suspek juga didenda sebanyak RM7,000 atas pertuduhan kedua iaitu sengaja melupuskan barang yang dicuri.
Suspek mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim.
Terdahulu, pada 9 Oktober lalu, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah sama dan didakwa di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri barang dari majikan, serta Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melupuskan barang yang dicuri.
Sebelum itu, Polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Putrajaya menjelaskan hasil siasatan menunjukkan suspek mengambil barang kemas secara berulang kali dan membawa keluar dari premis kedai. Kamera litar tertutup (CCTV) turut menunjukkan beberapa insiden di mana suspek melakukan perbuatan tersebut.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai jenayah atau aktiviti yang mencurigakan digesa untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 0585 atau melaporkannya di balai polis terdekat.