Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Kesediaan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dan Presiden Brazil Lula da Silva ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur hujung Oktober ini adalah satu pengiktirafan kepada negara.
Dalam sesi lawatan rasmi ke dua negara tersebut baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput kedua- dua pemimpin Eropah dan Amerika Selatan ke Kuala Lumpur hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN Oktober depan.
Geostrategis Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, ia adalah kali pertama pemimpin tertinggi kedua-dua negara itu bersetuju hadir ke sidang berkenaan, walaupun Itali dan Brazil bukan rakan ASEAN.
Katanya, jemputan itu menunjukkan usaha diplomasi Anwar semasa menghadiri Sidang Kemuncak BRICS di Rio de Janeiro dan pertemuan dua hala di Eropah telah membuka ruang kerjasama yang lebih besar.
“Sidang ASEAN kali ini dilihat bukan hanya platform serantau tetapi medan perbincangan isu global seperti perang di Ukraine, Gaza dan krisis Iran-Israel.
“Bila pemimpin negara besar seperti Itali dan Brazil sahkan kehadiran, ia beri mesej bahawa Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, dilihat berperanan menyatukan suara dunia,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Rabu.

Menurut Azmi, kehadiran Anwar ke Brazil juga membawa impak strategik apabila beliau membawa suara ASEAN ke dalam BRICS, menegur secara terbuka kelemahan kerjasama blok itu dan menyarankan model ASEAN sebagai rujukan.
“Perdana Menteri menunjukkan ASEAN lebih bersatu berbanding BRICS, contohnya dalam isu perdagangan dan penggunaan mata wang tempatan. Ini beri nilai tambah kepada kepimpinan Malaysia dalam arena antarabangsa,” katanya lagi.
Tambahnya, lawatan ke Itali dan Perancis juga berkait rapat dengan rundingan perdagangan bebas ASEAN-EU, menjadikan kehadiran Anwar sebagai pemangkin bagi rundingan itu.
Mengulas kritikan terhadap lawatan luar negara yang dianggap membazir, Azmi menegaskan manfaatnya tidak boleh dinilai semata-mata daripada angka pelaburan segera.
“Yang lebih penting ialah keyakinan jangka panjang terhadap kestabilan dan hala tuju Malaysia. Usaha diplomasi ini akan beri kesan besar kepada hubungan dua hala dan imej negara di mata dunia,” katanya.
Baca juga: