Diplomasi Hikmah Anwar Ibrahim Kemudi Sidang Kemuncak ASEAN

Oleh: Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa

ULASAN | Parti Amanah mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi ASEAN atas kejayaan cemerlang memimpin sidang kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan kepada kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) bahawa rantau ASEAN mampu menjadi contoh wilayah yang kekal aman dengan usaha Pengerusi ASEAN menamatkan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja.

Satu tandatangan bersejarah persetujuan damai antara dua negara anggota ASEAN termetrai di Kuala Lumpur dikenali sebagai Perjanjian Damai Kuala Lumpur.

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga dengan kejayaan Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya membantu menamatkan konflik sempadan berpanjangan antara dua negara anggota ASEAN.

Tahniah juga kepada pihak berkonflik kerana mendahulukan jiwa dan semangat ASEAN yang mendambakan keamanan.

Di sebalik kejayaan ini, ada juga pihak yang mengambil kesempatan untuk menidakkan kejayaan tersebut dengan meremehkan peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani dengan tuduhan kononnya Malaysia mengambil sikap lunak dengan Amerika sempena kedatangan Trump ke Kuala Lumpur.

Malah ditularkan dalam media sosial seolah-olah Malaysia telah menggadaikan prinsip membela perjuangan kebebasan Palestin dengan menerima kehadiran Trump di Malaysia dan berunding mengenai hubungan perdagangan Malaysia dan Amerika Syarikat.

Amanah menegaskan bahawa hubungan strategik Malaysia dengan Amerika Syarikat tidak boleh ditafsirkan sebagai sokongan terhadap kezaliman Israel di Gaza.

Tuduhan sedemikian adalah sempit dan gagal memahami hikmah Siasah Syar‘iyyah iaitu seni politik Islam yang mengimbangi antara kemaslahatan dan kemudaratan dengan berpaksikan prinsip keadilan, maruah dan kepentingan ummah.

Amanah berpegang kepada kaedah bahawa: “tindakan pemimpin itu terikat dengan tujuan mencapai kemaslahatan.”

Kemaslahatan itu ditentukan melalui realiti geopolitik dan kepentingan hubungan antarabangsa yang sepatutnya memberi manfaat kepada ekonomi, pekerjaan dan kestabilan negara, tanpa perlu menggadai prinsip Islam dan kemanusiaan.

Hubungan dengan AS adalah sebagai alat tadbir untuk kemaslahatan negara dan mengelak kemudaratan, bukan hubungan berbentuk wala’ (kesetiaan) kepada dasar luar Amerika yang menyokong penindasan dan genosid di Gaza.

Dalam hal ini tidak dapat dinafikan bahawa suara Malaysia kekal lantang membela Palestin, menentang pendudukan haram Israel, menuntut keadilan sejagat dan keamanan yang mampan.

Malaysia kekal dengan dasar tiada hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel dalam apa juga bentuknya.

Pada masa yang sama, pendekatan hikmah mentadbir kemaslahatan negara mengajar kita mengambil kaedah berunding, berdagang dan bekerjasama dengan semua kuasa dunia lain, termasuk AS bagi memperkukuhkan kedudukan ekonomi negara secara berdaulat dan bermaruah.

Sepanjang kehadiran Trump ke sidang kemuncak ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan kaedah ‘dual track diplomacy’ atau diplomasi dwi landasan yang cuba menguruskan antara kepentingan hubungan Malaysia/ASEAN, sementara beliau bersikap tegas memperjuangkan maruah dan hak Palestin yang tertindas.

Dalam pendekatan hikmah siasah, ia disimpulkan sebagai pendekatan “berbaik untuk manfaat, berprinsip untuk maruah.”

Amanah menyokong pendekatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cuba menyeimbangkan antara diplomasi dan prinsip.

Ia adalah pegangan politik Amanah selama ini yang berasaskan akhlak, maruah dan hikmah serta menolak pendekatan politik identiti sempit bersentimenkan kaum dan agama tanpa melihat keperluan negara yang lebih besar dan tekanan geopolitik antarabangsa.

***Penulis adalah Timbalan Presiden Parti Amanah Negara

Anda Mungkin Berminat