Diplomasi PMX: Tarif AS ke atas Malaysia Turun Kepada 19 Peratus

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pengurangan kadar tarif ke atas Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus bermula hari ini, susulan hasil rundingan diplomatik yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan itu dibuat menerusi perintah eksekutif yang ditandatangani Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, pada 31 Julai, sekali gus mengubah kadar tarif yang diperkenalkan sejak April lalu. Langkah ini dijangka memberi kelegaan kepada sektor eksport Malaysia, khususnya dalam bidang elektronik, komoditi, dan produk pembuatan.

Semalam, Anwar memaklumkan bahawa beliau berhubung melalui telefon dengan Trump pada awal pagi, membincangkan isu diplomatik dan perdagangan antara kedua-dua negara. Dalam perbualan itu, Trump menyatakan penghargaan tinggi terhadap peranan aktif Malaysia dalam menyelesaikan konflik antara Thailand dan Kemboja, yang disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap keupayaan Malaysia sebagai pemudah cara serantau.

“Presiden Trump bersetuju untuk menyemak semula kadar tarif yang dikenakan ke atas Malaysia, dengan keputusan dijangka diumumkan selewat-lewatnya esok (Hari ini),” kata Anwar dalam kenyataannya semalam.

Mengikut dokumen rasmi White House, kadar tarif baharu itu meletakkan Malaysia sebaris dengan Indonesia, Kemboja, dan Filipina yang turut dikenakan tarif 19 peratus. Vietnam pula pada kadar 20 peratus, manakala Thailand 36 peratus, serta Laos dan Myanmar masing-masing 40 peratus.

Diplomasi Malaysia dalam rundingan perdagangan ini dianggap berjaya kerana pengurangan tersebut berlaku hanya beberapa bulan selepas kadar 25 peratus dilaksanakan. Perubahan ini turut dilihat sebagai tanda keyakinan Washington terhadap kestabilan ekonomi dan kepimpinan Malaysia di rantau Asia Tenggara.

Anwar turut memaklumkan bahawa Trump akan hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini, satu penghormatan besar kepada Malaysia selaku tuan rumah dan Pengerusi ASEAN. Kehadiran tersebut dijangka memperkukuh lagi hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi antara Amerika Syarikat dan negara-negara Asia Tenggara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat