Disangka tidur, rupanya meninggal dunia

KUCHING: Seorang lelaki yang disangka sedang tidur di hadapan sebuah kedai di Batu 6, Jalan Lapangan Terbang, dekat sini disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar jam 1.15 petang semalam, sebelum anggota dari Balai Polis Sungai Maong dikerahkan ke lokasi.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan tidak sedarkan diri sebelum pegawai perubatan yang hadir mengesahkan dia telah meninggal dunia.

“Siasatan awal menunjukkan lelaki terbabit merupakan gelandangan dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mayat kemudian dihantar ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.

“Bedah siasat hanya akan dilakukan selepas waris mangsa dapat dihubungi.

“Oleh itu, orang awam yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat mengenai identiti mangsa diminta tampil membantu siasatan,” tambahnya.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ketua Polis Balai Sungai Maong, Inspektor Awang Ramzi Awang Junaidi, di talian 019-8444123 atau menghubungi Balai Polis Sungai Maong di 082-420469.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat