Disiplin Luar Biasa Anwar Jadi Tonggak Pemulihan Negara – Hannah Yeoh

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai pemimpin berdisiplin tinggi dan berdedikasi luar biasa, yang tidak pernah berhenti berusaha memulihkan ekonomi negara sejak hari pertama memegang tampuk pemerintahan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sejak mesyuarat pertama Kabinet, Anwar secara konsisten menekankan bahawa keutamaan semua kementerian adalah memastikan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat kekal sebagai agenda utama kerajaan.

“Beliau (Anwar) sangat tegas apabila mendapati ada gangguan terhadap fokus ekonomi negara.

“Ketegasan dan kejelasan hala tuju beliau inilah yang menyumbang kepada kejayaan Malaysia ketika mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Hannah turut berkongsi pengalamannya mengikuti Perdana Menteri dalam lawatan rasmi ke Australia, di mana beliau menyaksikan sendiri komitmen Anwar yang tidak mengenal penat lelah.

“Pada jam 11 malam, beliau masih mengadakan sesi taklimat pra-mesyuarat bersama para menteri.

“Setiap ruang masa di antara mesyuarat pula diisi dengan pertemuan penting.

“Saya melihat sendiri bagaimana beliau bekerja tanpa henti,” ujarnya.

Malah, dalam satu insiden yang berlaku ketika pertemuan bersama Presiden FIFA, Anwar sanggup berlari dari sesi pertemuan dengan Presiden Brazil demi memastikan beliau sempat menyertai perbincangan bersama delegasi Malaysia.

“Situasi itu menunjukkan betapa beliau menghargai setiap detik dan berusaha memastikan semua urusan negara diberi perhatian secara menyeluruh.

“Ini bukan sekadar kerja tetapi satu dedikasi yang lahir daripada rasa tanggungjawab yang mendalam,” jelasnya.

Menurut Hannah, kecekapan dan produktiviti seorang pemimpin tidak bergantung kepada usia tetapi kepada disiplin dan semangat kerja yang ditunjukkan.

“Saya pernah lihat ahli politik muda yang malas. Anwar Ibrahim membuktikan bahawa ketekunan dan kecekapan tidak mengenal umur.

“Beliau menjadi contoh terbaik kepimpinan berasaskan kerja keras dan prinsip,” tambahnya.

Katanya lagi, pengalaman panjang Anwar dalam perjuangan politik menjadikan beliau lebih menghargai peluang menerajui kerajaan perpaduan ketika ini.

Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan, Perdana Menteri telah membuat beberapa keputusan dasar penting yang sukar namun perlu, demi membina semula keyakinan pelabur dan rakyat.

“Selepas bertahun-tahun berada di luar kuasa, beliau tidak mensia-siakan satu hari pun di Putrajaya.

“Dalam beberapa mesyuarat tertutup, saya menyaksikan sendiri sekurang-kurangnya tiga kali beliau memilih jalan moderat, menolak retorik kaum dan agama, demi memastikan perpaduan dan keharmonian negara terpelihara,” katanya.

Hannah turut menyeru rakyat Malaysia agar menilai kepimpinan Anwar berdasarkan prinsip dan kerja kerasnya, bukan berdasarkan mesej tular yang tidak berasas.

“Saya mohon rakyat jangan mudah percaya mesej tular yang mengkritik beliau tanpa bukti.

“Saya tidak bimbang tentang komitmen beliau tetapi lebih risau kerana beliau terlalu menolak batas kemampuan diri demi memastikan Malaysia terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat