PUTRAJAYA: Orang ramai kini berpeluang menyelesaikan saman trafik dengan potongan kompaun sehingga 70 peratus menerusi Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 7 Disember.
Program anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 4 petang di pekarangan Dataran Putrajaya dengan penyediaan kaunter khas bagi pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut PDRM, tawaran diskaun itu hanya terpakai untuk saman terpilih dan tidak melibatkan kesalahan berat seperti kemalangan, kesalahan tidak boleh dikompaun, Op Selamat serta saman yang sedang dibicarakan di mahkamah.
“Turut dikecualikan daripada diskaun ialah kesalahan melibatkan kenderaan berat, memotong secara berbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi lampu isyarat, pengubahsuaian ekzos dan memotong di garisan berkembar.

“Program ini memberi peluang kepada orang ramai menyelesaikan saman tertunggak dengan kadar lebih rendah. Jangan lepaskan peluang ini,” katanya.
Sepanjang program berlangsung, kaunter bayaran akan dibuka dengan kehadiran anggota PDRM yang bersedia membantu orang awam membuat semakan saman dan melengkapkan urusan pembayaran.
Program Rancakkan MADANI merupakan acara tahunan kerajaan yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan agensi pusat di bawah satu bumbung.
Tahun ini, ia turut diadakan bersempena Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 yang berlangsung di Putrajaya.








