PETALING JAYA: Seorang wartawan sebuah portal berita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor kira-kira jam 11 malam tadi, bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.
Memetik laporan portal tersebut, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, penahanan wartawan lelaki itu dibuat berhubung dakwaan kes rasuah, dan bukannya mengenai sebarang laporan berita yang ditulisnya.
“Wartawan itu dipercayai meminta sejumlah wang daripada seorang ejen pekerja asing RM20,000 untuk tidak mengeluarkan artikel berhubung isu penyeludupan pendatang asing,” katanya.
Wartawan berkenaan kini direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Dalam pada itu, pengurusan portal berkenaan berkata, pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku yang melibatkan kakitangan mereka.