KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan bahawa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mencatatkan kadar dividen sebanyak 5.35 peratus bagi Tahun Kewangan 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
Menurut beliau, pencapaian itu amat membanggakan memandangkan keadaan ekonomi global yang mencabar.
“Alhamdulillah, walaupun ekonomi global menghadapi ketidaktentuan, LTAT masih mampu mencatat prestasi yang baik sehingga membolehkan kadar dividen 5.35 peratus bagi tahun 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun,” katanya.
Khaled berkata, LTAT merekodkan pendapatan pelaburan RM749.5 juta dengan keuntungan boleh diagihkan RM541.5 juta, manakala dana rizab meningkat daripada RM1 bilion kepada RM1.3 bilion.
Menurutnya, keadaan itu memperkukuh kedudukan kewangan LTAT demi kepentingan para pencarum warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“LTAT terus memperkukuh portfolio pelaburan secara berhemah.
“Prestasi Pharmaniaga Berhad, yang mencatat lapan suku berturut-turut keuntungan, meletakkan syarikat itu pada landasan terbaik untuk keluar daripada status PN17 dalam tempoh terdekat,” tambahnya.
Dalam masa sama, LTAT memperkenalkan Pelan Halatuju Strategik 2026–2030 (GEMPUR30) bagi memacu prestasi pelaburan serta menyokong pengukuhan industri pertahanan negara melalui Dasar Industri Pertahanan Negara.
“Melalui Kumpulan Boustead, LTAT menyokong pembangunan industri pertahanan dan perumahan anggota ATM termasuk projek SASaR dan RKAT.
“Manakala Pharmaniaga memperkukuh keupayaan industri farmaseutikal serta rantaian bekalan ubat-ubatan negara.
“LTAT juga terus komited menyokong kebajikan warga ATM melalui pelbagai program dan inisiatif di kem-kem ATM dengan peruntukan melebihi RM1.5 juta sepanjang tahun 2025,” katanya lagi.








