DKMK 2.0 Bukti Komitmen Kerajaan Perkasa Keselamatan Makanan Negara

PETALING JAYA: Pelancaran Dasar Keselamatan Makanan Kebangsaan (DKMK) 2.0 menjadi bukti jelas bahawa Kerajaan Madani serius dalam memperkukuh keselamatan makanan negara selaras dengan cabaran global semasa.

Dalam kenyataan media pada Ahad, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan bahawa pelaksanaan dasar itu menjadikan Malaysia antara negara yang mengutamakan keselamatan makanan demi kesejahteraan rakyat.

“DKMK 2.0 menjadi panduan memperkukuhkan kawalan keselamatan makanan di sepanjang rantaian bekalan makanan negara melalui kerjasama strategik dengan semua pihak berkepentingan dengan merentas pelbagai sektor,” katanya.

KKM turut menjelaskan bahawa dasar itu akan mempermudah perdagangan makanan di peringkat domestik dan antarabangsa.

“DKMK 2.0 dilaksanakan melalui Pelan Tindakan Keselamatan Makanan Kebangsaan (PTKMK) 2024–2030 yang diterjemah melalui 17 strategi utama serta tiga strategi sokongan dengan indikator-indikator yang akan dicapai menjelang tahun 2030,” ujarnya.

Pelancaran DKMK 2.0 telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan ke-18 (MKMPK-18) di Ibu Pejabat KKM pada 26 September 2025.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh 13 wakil kementerian dan empat wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

KKM turut memaklumkan bahawa MKMPK merupakan badan penasihat tertinggi kerajaan dalam hal berkaitan keselamatan makanan dan pemakanan negara.

“MKMPK ini berperanan mewujudkan dan mempertingkatkan kerjasama selain penyelarasan antara semua agensi yang terlibat dalam rantaian bekalan makanan bagi menghadapi cabaran-cabaran baru dalam keselamatan makanan dan pemakanan pada peringkat tempatan, serantau mahupun antarabangsa,” ujarnya.

Mesyuarat turut bersetuju secara dasar dengan usul penambahbaikan dasar pemakanan negara yang dicadangkan oleh KKM.

Usul itu masih terbuka untuk cadangan tambahan daripada kementerian dan agensi lain melalui Memorandum Jemaah Menteri yang akan diedarkan kelak.

“Sebarang penambahbaikan dasar perlu merangkumi misi dan strategi yang lebih komprehensif dan dapat memberikan impak kepada perubahan status dan amalan pemakanan penduduk untuk mencapai kesejahteraan pemakanan ke arah Malaysia Sihat,” katanya.

KKM menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat kekal mampan, dengan memperhalusi aspek keselamatan makanan dan pemakanan secara menyeluruh.

“KKM juga akan sentiasa memastikan tiada sebarang kompromi dalam aspek keselamatan makanan dan pemakanan yang boleh menjejaskan kesihatan rakyat.

“Ini sejajar dengan nilai Madani,” kata KKM.

Anda Mungkin Berminat