ARAFAT: Jabal Al-Rahmah di tengah-tengah Padang Arafat kembali menjadi saksi perhimpunan kerohanian terbesar umat Islam sempena Hari Arafah, apabila jutaan jemaah haji dari seluruh dunia berhimpun memohon keampunan dan rahmat Allah SWT.
Seawal terbitnya fajar, para jemaah mula memenuhi kawasan suci itu, berdoa dalam suasana penuh ketenangan dan ketaqwaan.
Bukit kecil setinggi kira-kira 70 meter itu bukan sahaja menjadi mercu tanda tetapi juga simbol pengampunan kerana dikaitkan dengan pertemuan Nabi Adam a.s dan Hawa selepas diturunkan ke bumi.
Hari Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijjah dianggap sebagai kemuncak ibadah haji.
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Haji itu adalah Arafah.” Justeru, sesiapa yang tidak berwuquf di Arafat pada hari ini, hajinya tidak sah.
Selain jemaah haji, umat Islam di seluruh dunia turut menghayati keagungan hari ini dengan berpuasa Arafah, yang disifatkan sebagai amalan besar kerana menghapuskan dosa setahun lalu dan setahun akan datang.
Di kawasan berhampiran Jabal Al-Rahmah, Masjid Namirah menjadi lokasi khutbah Arafah, diikuti solat Zuhur dan Asar secara jamak dan qasar.
Suasana di Arafat dipenuhi dengan bacaan al-Quran, zikir dan doa dalam pelbagai bahasa, melambangkan kesatuan umat Islam tanpa mengira bangsa atau warna kulit.
Hari Arafah juga dikenang sebagai hari di mana Allah SWT membebaskan paling ramai hamba daripada api neraka, selain menjadi hari turunnya ayat al-Quran: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu…” (Surah al-Ma’idah, ayat 3).








