Doa Qunut Nazilah Jangan Diperalat Untuk Politik – Anwar

PARLIMEN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju amalan bacaan doa Qunut Nazilah dijadikan alat politik, apatah lagi ditujukan kepada individu yang tidak disukai hanya kerana perbezaan fahaman.

Menurut beliau, doa tersebut seharusnya dibaca dengan semangat keinsafan, bukan sebagai senjata dalam konflik sesama umat Islam.

“Saya tidak setuju Qunut Nazilah dibacakan kepada sesiapa termasuk yang saya sendiri tidak senangi.

“Doa ini bukan untuk diperalat bagi kepentingan politik,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Sany bertanya sama ada Perdana Menteri bersetuju dengan tindakan segelintir pihak yang membaca Qunut Nazilah terhadap individu yang didakwa membatalkan peruntukan kepada sekolah agama rakyat.

Menjawab isu itu, Anwar turut menjelaskan bahawa Kerajaan Perpaduan telah menyalurkan semula peruntukan kepada sekolah agama rakyat sejak 2022 termasuk di negeri-negeri di bawah pentadbiran SG4.

“Malah, kita turut memperkukuhkan sekolah-sekolah ini dengan bidang pendidikan tambahan seperti TVET dan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Isu Qunut Nazilah menjadi hangat selepas Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail, memimpin bacaan doa tersebut semasa perhimpunan ‘Turun Anwar’ di Dataran Merdeka pada 26 Julai lalu.

Tindakan itu mendapat teguran daripada beberapa tokoh agama yang menekankan bahawa doa tidak wajar ditujukan kepada sesama muslim hanya kerana perbezaan pandangan politik.

Mereka turut mengingatkan bahawa amalan tersebut bertentangan dengan adab yang diajar oleh Rasulullah SAW.

Anda Mungkin Berminat