Doktor Rugi RM888,000 Terjerat Skim Pelaburan Saham Palsu

KUANTAN: Seorang doktor berusia 44 tahun kerugian besar sebanyak RM888,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham palsu yang ditawarkan melalui media sosial.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa mula terjerat selepas melihat iklan pelaburan di Facebook menggunakan nama Financial Faiz pada 18 September lalu.

Menurut beliau, mangsa kemudian berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan dimasukkan ke dalam satu kumpulan dikenali sebagai Aura Wealth Navigation.

“Suspek menawarkan skim pelaburan saham dikenali sebagai TNB Aura yang menjanjikan pulangan keuntungan antara 18 hingga 22 peratus, selain potensi keuntungan sehingga 500 peratus sekiranya sasaran pelaburan bagi 24 jenis saham yang ditawarkan berjaya dicapai,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Yahaya berkata, mangsa turut diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan bernama AURAMY melalui pautan yang diberikan suspek bagi tujuan pendaftaran sebagai ahli.

Susulan itu, antara 8 November 2025 hingga 7 Januari 2026, mangsa membuat 21 transaksi pindahan wang ke dalam lima akaun bank berbeza atas nama beberapa syarikat berkaitan.

“Jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa dianggarkan sebanyak RM888,000, melibatkan wang simpanan peribadi, pinjaman peribadi, pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta simpanan Tabung Haji,” katanya.

Tambah beliau, mangsa hanya menerima pulangan sekali sahaja pada peringkat awal pelaburan berjumlah RM1,000 sebelum gagal mendapat sebarang keuntungan seperti dijanjikan.

“Menyedari dirinya telah ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Yahaya turut mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada sebelum membuat sebarang pelaburan termasuk melakukan semakan nombor akaun melalui laman sesawang Semak Mule.

Katanya lagi, orang ramai yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan disaran segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

Anda Mungkin Berminat