PARLIMEN: Penggunaan matawang Dolar Amerika Syarikat (AS) dalam perdagangan antarabangsa tidak akan dihentikan meskipun Malaysia terlibat dalam BRICS dalam tempoh terdekat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata kebarangkalian negara anggota BRICS menggantikan dolar AS ‘hampir tidak wujud’ kerana majoriti perdagangan global sangat bergantung kepada dolar AS.
Bercakap ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen, Kubang Pasu (PN) yang bertanyakan pendirian Malaysia mengenai dedolarisasi selepas Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas negara BRICS.
Beliau memetik perdagangan Malaysia dengan China yang menyumbang kira-kira 18 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia dan di mana majoriti urus niaga dijalankan dalam dolar AS.
“Ada beberapa (syarikat) yang bersetuju jika mereka mengeksport dan mengimport dari Malaysia, mereka akan menerima ringgit dan kita akan menerima renminbi. Tetapi untuk pengetahuan saya, ini masih kecil dan melibatkan penyelesaian dan bukannya ‘dedolarisasi’ penuh.
“Pada masa sama, pelabur yang melabur di luar AS, apabila mereka mengeksport ke AS, mereka menggunakan dolar,” katanya.
Mengenai ancaman tarif Trump ke atas negara BRICS, Tengku Zafrul menyatakan bahawa Malaysia bukanlah ahli penuh kumpulan itu, hanya negara rakan kongsi.
Beliau berkata, AS kekal sebagai salah satu pelabur terbesar Malaysia dengan lebih 600 firma Amerika beroperasi di negara itu.
“Kami mengambil langkah proaktif untuk menghalang kenaikan tarif seperti yang dilihat dikenakan ke atas China, Kanada dan Mexico,” katanya.