Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Biarpun parti-parti tempatan mendominasi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, kedudukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan masih kekal utuh dan teguh.
Penganalisis Politik, Dr G Manimaran berpandangan bahawa kedudukan Kerajaan Madani khususnya tidak akan terjejas walaupun sekelumit meskipun parti GRS, WARISAN, UPKO, calon bebas dan lain-lain menguasai pilihan raya negeri itu.
“Pada pandangan saya, walaupun GRS ataupun parti-parti tempatan mendominasi PRN Sabah pada kali ini, ini persepsi saya bahawa ia akan memberi impak (kemenangan) tetapi ia akan kekal utuhya sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Justeru menurutnya, walaupun Pakatan Harapan (PH) hanya berjaya meraih satu kerusi di Sabah, parti itu tetap menjadi pengimbang buat Kerajaan Madani dan kekalahan di DUN yang lain tidak akan mengganggu gugat kedudukan tatakelola kerajaan itu di peringkat nasional.

Manimaran turut meramalkan selagi mana GRS, GPS Sarawak, UMNO Sabah dan parti-parti komponen yang lain tidak menunjukkan sebarang tanda mahu menarik diri daripada mendukung Kerajaan pusat, gabungan itu dijangka akan kekal stabil sehingga tibanya PRU akan datang.
“Jadi saya melihat kepada kesinambungan dan mandat akan berterusan sehingga pilihan raya umum yang akan datang.
Mungkin lepas PRU kita tidak akan tahu, tetapi berdasarkan pandangan peribadi saya, kedua-dua pihak perlu bertindak dengan bijaklah,” ujarnya.
Bagi meneruskan mandat masing-masing katanya, GRS, WARISAN dan seluruh parti komponen serta Kerajaan Pusat masih memerlukan antara satu sama lain demi survival yang berterusan.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan bahawa pertandingan PRN Sabah ke-17 ini melabuhkan tirai dengan keputusan yang begitu unik kerana kebanyakan parti yang menang bukanlah terdiri daripada parti pusat namun ia mesra dan rakan kepada Kerajaan Perpaduan.
Oleh itu, beliau memperlihatkan keunikan itu membuatkan kestabilan masih kekal wujud buat Kerajaan pusat dan tidak melahirkan sebarang masalah kecuali GRS bertindak mengundurkan diri.
Dalam pada itu, menurutnya, Pilihan raya kali ini menjadi pengajaran penting kepada Kerajaan Perpaduan untuk menilai semula dan merangka strategi baharu bagi memulihkan kepercayaan serta mendapatkan mandat rakyat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung bagi PRU akan datang.
“Kita mungkin melihat pilihan raya penuh diadakan tahun depan, melainkan jika berlaku perubahan disebabkan impak keputusan di Sabah.
“Kerajaan kini mempunyai tempoh kira-kira 10 bulan untuk menangani isu-isu yang membabitkan ahli perniagaan, sektor swasta, ekonom dan semua ini perlu diselesaikan,” kata beliau.

Tambah beliau, keputusan di Sabah memperlihatkan mesej jelas kepada pentadbiran pusat bahawa apa yang berlaku adalah ibarat tsunami pengunduran undi dari kaum China seperti fenomena yang pernah berlaku di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang lalu.
Di mana, ketika itu wujudnya naratif yang tidak disukai pengundi Cina sehingga ramai tidak keluar mengundi.
Susulan itu, beliau menggesa kerajaan supaya kembali ke meja perbincangan dan merombak pendekatan dasar serta komunikasi politik agar lebih inklusif dan mampu meraih semula sokongan pelbagai komuniti.
Mengulas hubungan kerajaan negeri dan pusat selepas PRN Sabah, Dr. Manimaran menjelaskan bahawa hubungan itu kekal mesra dan tidak menimbulkan masalah, memandangkan GRS sendiri memilih untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Kerajaan GRS pimpinan Hajiji melepasi majoriti mudah membentuk kerajaan negeri dengan komposisi semasa melibatkan GRS sebanyak 29 kerusi, Bebas (5), UPKO (3), Pakatan Harapan (PH) (1), Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) (1) dan STARSABAH (2).
Baca juga:








