DOSM: Aidiladha dan cuti sekolah antara penyumbang peningkatan industri domestik

PUTRAJAYA: Nilai jualan sektor perdagangan borong dan runcit negara meningkat 4.8 peratus kepada RM153.0 bilion pada Jun 2025, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan ini disokong oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat sebanyak 5.4 peratus kepada RM67.5 bilion dan perdagangan borong yang meningkat 5.2 peratus kepada RM68.3 bilion. Peningkatan ini dipacu oleh sambutan Aidiladha dan cuti sekolah.

Subsektor kenderaan bermotor turut mencatatkan jualan RM17.1 bilion, meningkat 0.7 peratus tahun ke tahun, dengan pertumbuhan dalam jualan komponen, penyelenggaraan dan motosikal, walaupun jualan kereta susut berbanding bulan sebelumnya.

“Prestasi positif ini mencerminkan aktiviti penggunaan domestik yang kukuh, disokong oleh trend pembayaran digital dan pembelian dalam talian yang terus berkembang,” katanya dalam kenyataan.

Data turut menunjukkan lonjakan 71.3 peratus dalam transaksi e-dompet kepada RM21.7 bilion, sementara transaksi Real-time Retail Payments Platform (RPP) mencecah RM277.2 bilion dan Financial Process Exchange (FPX) meningkat 11.4 peratus kepada RM31.2 bilion. Jualan runcit di kedai bukan pengkhususan dan kedai pengkhususan masing-masing meningkat 5.7 dan 5.9 peratus.

Jualan borong makanan, minuman dan tembakau meningkat 6.7 peratus kepada RM13.9 bilion, manakala barangan isi rumah meningkat 5.3 peratus kepada RM14.4 bilion. Jualan bahan mentah pertanian dan haiwan hidup melonjak 12.2 peratus kepada RM6.6 bilion.

Jualan runcit dalam talian turut meningkat 5.1 peratus dari tahun ke tahun, dengan indeks volum perdagangan borong dan runcit meningkat 4.4 peratus. Bagaimanapun, volum kenderaan bermotor susut 0.6 peratus pada bulan ini.

Malaysia ketika ini mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) dan baru sahaja mencatat pencapaian pertama dunia dalam Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, melonjak daripada kedudukan ke-67 sebelum ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat