PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar sederhana menjelang 2026 apabila Indeks Pelopor (IP) mencatatkan penurunan 0.5 peratus kepada 113.7 mata pada Ogos 2025, berbanding 114.3 mata pada tempoh sama tahun lalu.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak & Susulan Ogos 2025 berkata, IP memberi petunjuk awal terhadap arah tuju ekonomi dan perubahan kitaran perniagaan negara.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi IP dipengaruhi oleh penurunan ketara dalam import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain 26.9 peratus, sejajar dengan kelembapan permintaan global.
“Pada asas bulanan, IP turut susut 0.8 peratus, dipacu oleh penurunan import benar semikonduktor 0.7 peratus yang selaras dengan sentimen perdagangan global berhati-hati,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, trend jangka panjang IP kekal di bawah 100 mata, menggambarkan ekonomi yang menyederhana tetapi stabil, disokong oleh kepelbagaian industri dan permintaan domestik yang kukuh.
Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang menunjukkan prestasi ekonomi semasa meningkat 2.1 peratus kepada 128.9 mata, disokong oleh pertumbuhan nilai caruman benar KWSP 9.6 peratus dan pasaran buruh yang positif.
Malaysia turut mencatat sejarah apabila menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, menewaskan 197 negara lain dengan peningkatan ketara daripada kedudukan ke-67 dua tahun lalu.
Baca juga:








