DOSM: Ekonomi Malaysia kekal di landasan mampan, KDNK tumbuh 6.3 peratus

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia terus berada di landasan pertumbuhan mampan dengan mencatatkan pertumbuhan 6.3 peratus pada suku tahun keempat 2025.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerbitkan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 2/2026 memaklumkan, momentum pertumbuhan itu merupakan yang paling kukuh sejak suku keempat 2022, berbanding 5.4 peratus pada suku sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi memberangsangkan itu mencerminkan kekuatan asas ekonomi negara.

“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia meningkat sebanyak 6.3 peratus pada suku tahun keempat 2025, iaitu peningkatan paling kukuh sejak suku keempat 2022.

“Pertumbuhan itu disokong terutamanya oleh sektor Perkhidmatan dan Pembuatan dari segi penawaran,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Mohd Uzir turut menjelaskan dari sudut permintaan pula, Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta dan Pembentukan Modal Tetap Kasar terus memacu aktiviti ekonomi.

“Ini mencerminkan perbelanjaan domestik yang berdaya tahan serta pertumbuhan pelaburan yang mampan, sekali gus mengukuhkan kedudukan ekonomi negara,” tambahnya.

Menyentuh mengenai aktiviti pengeluaran perindustrian, ianya menunjukkan momentum trajektori yang positif dan kekal apabila Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 4.8 peratus tahun ke tahun pada Disember 2025.

“Pertumbuhan ini dilanjutkan oleh peningkatan sektor Pembuatan sebanyak 6.7 peratus dan Elektrik 3.7 peratus, walaupun sektor Perlombongan mencatatkan penyusutan,” jelas Mohd Uzir.

Sepanjang 2025, jumlah nilai jualan sektor Pembuatan mencecah RM1.97 trilion, meningkat 4.2 peratus berbanding 2024. Pada Disember 2025, jualan Pembuatan berjumlah RM168.6 bilion, naik 6.4 peratus dipacu produk Elektrik dan Elektronik yang berkembang 12.6 peratus.

Manakala, dari sektor Perkhidmatan kekal berdaya tahan apabila jualan perdagangan Borong dan Runcit meningkat 7.6 peratus kepada RM163.7 bilion pada Disember 2025.

Jumlah keseluruhan jualan perdagangan Borong dan Runcit bagi 2025 mencecah RM1.87 trilion, meningkat 5.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Prestasi ini mencerminkan keyakinan pengguna dan aktiviti perniagaan yang berterusan, sekali gus menyokong pertumbuhan domestik,” katanya.

Dari sudut sektor luaran, Imbangan Akaun Semasa mencatat lebihan RM2.0 bilion pada suku keempat 2025.

Aliran masuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) turut melonjak kepada RM27.8 bilion berbanding RM8.5 bilion pada suku sebelumnya.

Pada Januari 2026, jumlah perdagangan meningkat 12.6 peratus kepada RM272.4 bilion, dengan eksport melonjak 19.6 peratus kepada RM146.9 bilion dan menghasilkan lebihan dagangan RM21.4 bilion.

“Pengembangan eksport ini didorong terutamanya oleh produk Elektrik dan Elektronik serta Instrumen dan Peralatan Profesional, Saintifik dan Kawalan, mencerminkan permintaan pasaran global yang mampan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, keadaan inflasi negara menunjukkan keadaan peningkatan yang sederhana kepada 1.6 peratus pada Januari 2026, manakala Indeks Harga Pengeluar terus menunjukkan trend penyederhanaan.

Dalam masa sama, pasaran buruh kekal stabil apabila kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus pada suku keempat 2025.

“Tenaga buruh berkembang kepada 17.62 juta orang manakala jumlah pekerjaan meningkat kepada 17.10 juta orang.

“Ini menunjukkan penyerapan tenaga kerja yang konsisten dan pengembangan pekerjaan yang berterusan,” jelasnya lagi.

Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia menutup tahun 2025 dengan asas makroekonomi yang kukuh, inflasi terkawal serta pasaran buruh yang stabil.

“Dalam persekitaran global yang semakin mencabar, ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan yang mampan dan berada pada kedudukan baik untuk mengharungi pertumbuhan global yang sederhana,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat