DOSM: Ekonomi Malaysia Kukuh, Aset Tetap Cecah RM5.8 Trilion Pada 2024

PUTRAJAYA: Malaysia terus mengukuhkan kedudukan ekonomi apabila Stok Modal Kasar (SMK) negara mencatat RM5.8 trilion pada 2024, meningkat 3.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Stok Modal Produktif (SMP) turut meningkat 3.8 peratus kepada RM4.8 trilion, manakala Stok Modal Bersih (SMB) yang mencerminkan kekayaan aset tetap negara meningkat 3.8 peratus kepada RM3.6 trilion.

Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi positif ini dipacu oleh pertumbuhan lebih baik di semua sektor utama, khususnya Perkhidmatan dan Pembuatan.

“SMB sektor Perkhidmatan berkembang 4.5 peratus manakala Pembuatan meningkat 4.8 peratus pada 2024,” jelasnya.

Sektor Perkhidmatan kekal penyumbang terbesar SMB dengan 69.5 peratus atau RM2.5 trilion. Antara subsektor utama ialah kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan 33.7 peratus, pengangkutan, penyimpanan serta maklumat dan komunikasi 19.2 peratus dan utiliti 11.1 peratus.

SMB sektor Pembuatan pula menyumbang 11.9 peratus atau RM427.7 bilion, dipacu oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik 36.3 peratus, serta produk elektrik, elektronik dan optikal 33.0 peratus. Subsektor makanan, minuman dan tembakau turut mencatat sumbangan 11.5 peratus.

Dari segi jenis aset, struktur mencatat pertumbuhan 3.8 peratus, jentera dan peralatan meningkat 5.7 peratus manakala aset lain bertumbuh 1.5 peratus. Struktur kekal mendominasi SMB dengan sumbangan 81.1 peratus.

Malaysia turut mencatat pencapaian antarabangsa apabila menduduki tangga pertama global dalam laporan ‘Open Data Inventory (ODIN) 2024/25’, melonjak dari kedudukan ke-67 pada 2022/23. DOSM juga akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN ke-15 (ACSS15) tahun ini.

Sebagai pengiktirafan kepada kepentingan data, kerajaan menetapkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara (MyStats Day) dengan tema ‘Statistik Nadi Kehidupan’. Sementara itu, Hari Statistik Dunia Keempat turut disambut pada tarikh sama bertemakan ‘Driving Change with Quality Statistics and Data for Everyone’.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat