PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia memulakan tahun 2026 dengan momentum positif apabila pertumbuhan sektoral kekal menyeluruh dan disokong permintaan domestik yang kukuh.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia(DOSM), prestasi ekonomi semasa menunjukkan kesinambungan pertumbuhan stabil meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada 2025, disokong pertumbuhan meluas merentasi semua sektor utama.
“Sektor Perkhidmatan berkembang 5.5 peratus, diikuti Pembuatan 4.5 peratus dan Pembinaan 12.2 peratus, mencerminkan asas ekonomi yang kukuh” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurutnya lagi, indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 5.9 peratus pada Januari 2026, dipacu oleh sektor pembuatan yang berkembang 7.3 peratus serta peningkatan output elektrik.
“Momentum ini mencerminkan aktiviti perindustrian yang terus berkembang, khususnya dalam subsektor Elektrik dan Elektronik,” katanya.
Mohd Uzir menambah, sektor pembuatan mencatat jualan RM169.4 bilion, meningkat 7.1 peratus, manakala sektor borong dan runcit berkembang 7.3 peratus kepada RM159.8 bilion.
Perdagangan luar turut mencatat pertumbuhan 9.5 peratus kepada RM245.2 bilion pada Februari 2026 dengan lebihan dagangan RM16.7 bilion.
“Permintaan domestik yang stabil serta perdagangan yang kukuh akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh terdekat,” ujarnya.
Beliau berkata, Inflasi kekal sederhana pada 1.4 peratus, manakala kadar pengangguran stabil pada 2.9 peratus, menunjukkan keadaan ekonomi yang terkawal.
“Malaysia turut mencatat pencapaian apabila menduduki tempat pertama dunia dalam laporan ODIN 2024/25 oleh Open Data Watch, mencerminkan kemajuan dalam keterbukaan data negara” katanya.
Baca juga:








