PUTRAJAYA: Permintaan buruh Malaysia terus menggalakkan pada suku kedua 2025 dengan 9.1 juta jawatan, meningkat 1.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertambahan 142,200 jawatan ini sejajar dengan prestasi ekonomi negara yang berkembang, mendorong peningkatan penyertaan tenaga kerja untuk memenuhi permintaan pengeluaran.
“Daripada jumlah keseluruhan jawatan, 97.9 peratus telah diisi manakala baki 2.1 peratus masih kosong,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jawatan diisi meningkat kepada 8.9 juta, dipacu sektor Perkhidmatan yang menyumbang 53 peratus, diikuti Pembuatan sebanyak 26.8 peratus dan Pembinaan sebanyak 14 peratus. Kategori separuh mahir kekal mendominasi dengan 62.5 peratus daripada jumlah jawatan diisi.
Kekosongan jawatan pula meningkat 1.8 peratus kepada 194,900, kebanyakannya dalam sektor Pembuatan iaitu 57.7 peratus, khususnya subsektor elektrik, elektronik dan produk optikal. Kategori separuh mahir merekodkan kekosongan tertinggi sebanyak 109,500.
Sebanyak 31,900 jawatan baharu diwujudkan pada suku ini, didominasi sektor Perkhidmatan iaitu 46.7 peratus dan Pembuatan sebanyak 37.4 peratus. Sebahagian besar adalah kategori separuh mahir, selaras dengan keperluan tenaga kerja berkemahiran sederhana dalam pasaran buruh berasaskan teknologi.
Mohd Uzir menegaskan, pasaran buruh negara kekal dinamik walaupun berdepan ketidaktentuan global.
“Prestasi stabil ini disokong permintaan domestik yang kukuh dan perbelanjaan pengguna yang stabil, sekali gus mengekalkan momentum positif permintaan buruh,” katanya.
Malaysia akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) tahun ini. Malaysia juga buat julung kali berada di tangga pertama dunia dalam Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, selain menetapkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara bertema Statistik Nadi Kehidupan.
Baca juga: