PUTRAJAYA: Prestasi perdagangan Malaysia kembali meningkat pada September 2025 dengan jumlah dagangan melonjak 9.8 peratus kepada RM257.5 bilion berbanding RM234.4 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan ini disokong oleh pertumbuhan eksport dua angka sebanyak 12.2 peratus kepada RM138.7 bilion serta kenaikan import 7.3 peratus kepada RM118.8 bilion.
“Eksport Malaysia meningkat seiring dengan kenaikan eksport semula dan eksport domestik. Eksport semula melonjak 46.1 peratus kepada RM34.5 bilion, manakala eksport domestik naik kepada RM104.2 bilion,” katanya.
Lebihan dagangan turut menunjukkan prestasi kukuh, meningkat 54.7 peratus kepada RM19.9 bilion, menandakan lebihan dagangan selama 65 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
“Kenaikan eksport banyak disumbangkan oleh barangan elektrik dan elektronik, bijih logam serta jentera dan peralatan,” ujarnya.
Dr. Mohd Uzir turut menambah, peningkatan eksport ke negara utama seperti Singapura, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Mexico dan India turut memacu prestasi perdagangan negara.
“Secara keseluruhan, prestasi perdagangan sembilan bulan pertama 2025 mencapai RM2.2 trilion, meningkat 4.4 peratus, disokong eksport yang kukuh dan lebihan dagangan yang terus berkembang,” katanya.
Baca juga:








