DOSM: Eksport import cecah RM247.1 bilion, empat negeri catat lonjakan

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan jumlah perdagangan bernilai RM247.1 bilion pada Ogos 2025 dengan eksport RM131.6 bilion dan import RM115.5 bilion, menurut laporan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai eksport meningkat RM2.5 bilion atau 1.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh prestasi positif Pulau Pinang, Johor, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Melaka, Kelantan dan Perlis,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pulau Pinang kekal penyumbang utama eksport dengan nilai RM48.4 bilion atau 36.8 peratus, diikuti Johor 20.8 peratus, Selangor 17.3 peratus, Sarawak 6.2 peratus, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 4.3 peratus.

Bagi import, beliau berkata jumlahnya menurun RM7.3 bilion atau 5.9 peratus berbanding Ogos 2024. Penurunan itu dipacu oleh Kedah, Melaka, Pahang, Johor dan beberapa negeri lain.

Namun, import meningkat di Pulau Pinang dengan tambahan RM3.2 bilion, selain Perak RM125.5 juta dan Selangor RM0.1 juta. Selangor mendominasi import negara dengan 27.2 peratus, diikuti Pulau Pinang 25.1 peratus dan Johor 22.1 peratus.

Mengulas pencapaian lain, DOSM bakal mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN ke-15 (ACSS15) bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang statistik.

Sebagai rekod, Malaysia buat pertama kali menduduki tangga teratas laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, melonjak daripada kedudukan ke-67 sebelum ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat