DOSM: Eksport Malaysia Naik 1.0 Peratus

PUTRAJAYA: Indeks nilai seunit eksport Malaysia meningkat 1.0 peratus kepada 152.9 mata pada Ogos 2025 berbanding 151.4 mata pada bulan sebelumnya.

Pada masa sama, indeks nilai seunit import menurun 0.2 peratus daripada 125.0 mata kepada 124.8 mata. Namun, kadar perdagangan negara bertumbuh 1.2 peratus bulan ke bulan daripada 121.1 mata kepada 122.5 mata.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan eksport disumbangkan oleh minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran 2.4 peratus, minyak galian 0.9 peratus dan jentera serta kelengkapan pengangkutan 0.6 peratus.

Bagaimanapun, indeks volum eksport jatuh 6.9 peratus disebabkan penurunan keluaran kilang 12.3 peratus, jentera dan kelengkapan pengangkutan 11.5 peratus serta makanan 7.4 peratus. Secara tahunan, indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 1.7 peratus dan 1.2 peratus.

Bagi import, penurunan 0.2 peratus dicatat berikutan penurunan minyak galian 1.2 peratus, bahan kimia 0.4 peratus dan keluaran kilang 0.3 peratus. Indeks volum import juga susut 7.8 peratus bulan ke bulan, manakala secara tahunan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum masing-masing merosot 3.7 peratus dan 2.3 peratus.

Kadar perdagangan Malaysia meningkat 1.2 peratus pada Ogos 2025 berbanding bulan sebelumnya, didorong minyak galian 2.1 peratus, minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran 1.3 peratus dan jentera serta kelengkapan pengangkutan 0.7 peratus. Secara tahunan, ia melonjak 5.6 peratus.

“Pergerakan ini mencerminkan daya tahan perdagangan Malaysia walaupun berdepan cabaran global. DOSM akan terus memperkukuh penyediaan statistik tepat bagi menyokong dasar negara,” kata Mohd Uzir.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia mencatat pengiktirafan antarabangsa dalam bidang statistik, termasuk menduduki tangga pertama global dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25. Pencapaian itu melonjak daripada kedudukan ke-67 pada 2022/23, sekali gus menegaskan komitmen negara terhadap data berkualiti.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat