PUTRAJAYA: Prestasi ekonomi negara menunjukkan peningkatan apabila Indeks Pelopor (IP) bagi September 2025 mencatatkan pertumbuhan 0.8 peratus kepada 113.3 mata berbanding 112.4 mata pada bulan sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam laporan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak & Susulan yang dikeluarkan pada Selasa, IP terus berfungsi sebagai penunjuk awal terhadap perubahan kitaran perniagaan dan hala tuju ekonomi jangka terdekat.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan tersebut dipacu prestasi kukuh Bilangan Syarikat Baharu Didaftar yang meningkat 16 peratus serta Import Benar Semi Konduktor yang naik 15.8 peratus.
Namun begitu, katanya, prestasi bulan ke bulan menyusut 0.5 peratus dipengaruhi penurunan Bilangan Unit Kediaman Diluluskan Pembinaan sebanyak 0.7 peratus dan Import Benar Logam Asas Berharga serta Logam Bukan Ferus Lain yang susut 0.5 peratus.
Walaupun trend terlicin jangka panjang IP kekal di bawah paras 100 mata, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang dipacu asas domestik yang kukuh, perdagangan yang stabil serta inflasi yang semakin reda.
Indeks Serentak (IS) turut merekodkan peningkatan 2.6 peratus kepada 129.1 mata, disokong komponen Nilai Caruman Benar KWSP yang melonjak 15.6 peratus, mencerminkan kestabilan pendapatan dan pasaran kerja.
Peningkatan aktiviti ekonomi turut didorong pemulihan bulanan IS sebanyak 0.2 peratus, dipacu kenaikan Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit yang mencatat pertumbuhan tertinggi dalam komponen IS.
Malaysia baru-baru ini menduduki tempat pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, melonjak daripada kedudukan ke-67, hasil inisiatif OpenDOSM NextGen yang memperkukuh keterbukaan serta kebolehcapaian data nasional.







