PUTRAJAYA: Kapasiti penggunaan industri Pembuatan Malaysia mencatat kadar 82.5 peratus pada suku kedua 2025, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan pada Jumaat.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar tersebut meningkat 0.4 mata peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Kesemua subsektor mencatat kapasiti penggunaan melebihi 80 peratus. Produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka merekodkan kadar tertinggi iaitu 83.5 peratus, manakala subsektor makanan, minuman dan tembakau meningkat 2.8 mata peratus kepada 83.3 peratus,” katanya.
Beliau menjelaskan, prestasi ini selari dengan pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian sektor Pembuatan yang naik 0.4 peratus pada suku berkenaan.
Menurut laporan, kapasiti industri berorientasikan eksport meningkat 0.3 mata peratus kepada 81.6 peratus, manakala industri berorientasikan domestik mencatat 84.4 peratus. Antara yang tertinggi ialah subsektor kenderaan bermotor sebanyak 88.2 peratus dan produk prosesan makanan sebanyak 86.1 peratus.
Laporan turut merekodkan lapan negeri mengatasi kadar nasional termasuk Labuan sebanyak 92.7 peratus, Terengganu sebanyak 90.1 peratus dan Melaka sebanyak 87.7 peratus. Perlis pula kekal terendah dengan 58.5 peratus.
Faktor utama yang mengekang kapasiti penuh termasuk permintaan rendah, bekalan bahan mentah tidak mencukupi serta penyelenggaraan mesin dan kelengkapan.
Selaras aspirasi Malaysia MADANI, kejayaan ini membuktikan komitmen negara memperkukuh daya saing industri, selain penarafan Malaysia di tangga pertama global dalam Indeks Data Terbuka (ODIN) 2024/25 menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi yang mampan.
Baca juga: