KUALA LUMPUR: Kadar inflasi Malaysia meningkat kepada 1.7 peratus pada Mac 2026, dipacu oleh kenaikan dalam sektor pengangkutan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Indeks Harga Pengguna (IHP) turut meningkat kepada 136.4 mata berbanding 134.1 mata pada Mac tahun lalu, mencerminkan tekanan harga yang semakin ketara.
DOSM dalam kenyataan memaklumkan, kumpulan pengangkutan mencatatkan peningkatan kepada 1.6 peratus berbanding penguncupan negatif 0.7 peratus pada Februari 2026, sekali gus menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi keseluruhan.
“Terdapat beberapa kumpulan lain turut merekodkan kenaikan ketara termasuk penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan (7.0 peratus).
“Seterusnya diikuti insurans dan perkhidmatan kewangan (4.9 peratus), minuman alkohol dan tembakau (2.7 peratus) serta restoran dan penginapan (2.6 peratus).
“Kumpulan kesihatan serta maklumat dan komunikasi masing-masing meningkat 1.4 peratus, manakala perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain naik 1.2 peratus” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Bagaimanapun, beberapa komponen menunjukkan peningkatan lebih sederhana, antaranya pendidikan (2.5 peratus), makanan dan minuman (1.1 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.1 peratus).
Pakaian dan kasut pula mencatatkan penurunan kecil kepada negatif 0.1 peratus.
Dari segi negeri, lapan negeri merekodkan inflasi melebihi paras nasional, dengan Pahang mencatat kadar tertinggi 2.5 peratus, diikuti Wilayah Persekutuan Labuan (2.4 peratus), Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (masing-masing 2.2 peratus) serta Sabah (2.1 peratus).
Sebaliknya, Kelantan mencatatkan inflasi terendah iaitu 0.7 peratus.
“Secara bulanan, inflasi meningkat 0.3 peratus pada Mac berbanding 0.2 peratus pada Februari, didorong terutamanya oleh kenaikan dalam kumpulan pengangkutan dan maklumat serta komunikasi.
“Bagi suku pertama 2026, inflasi Malaysia meningkat kepada 1.6 peratus berbanding 1.3 peratus pada suku sebelumnya, mencerminkan tekanan harga yang semakin meningkat pada awal tahun” tulis kenyataan itu lagi.
Di peringkat serantau, kadar inflasi Malaysia masih lebih rendah berbanding beberapa negara seperti Vietnam, Filipina, Indonesia dan Korea Selatan, namun lebih tinggi berbanding China dan Thailand.
Baca juga:








