PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia terus mencatatkan prestasi kukuh pada suku kedua 2025 apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang 4.4 peratus, sama seperti suku sebelumnya dipacu oleh sektor Perkhidmatan dan Pembuatan yang kekal sebagai tunjang utama.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, momentum pertumbuhan ini membuktikan daya tahan ekonomi negara, dengan penggunaan swasta serta pelaburan kekal menyokong permintaan domestik.
“Sektor Perkhidmatan menunjukkan perkembangan positif dengan hasil meningkat 5.7 peratus tahun ke tahun kepada RM641.4 bilion.
“Segmen perdagangan borong & runcit, makanan & minuman serta penginapan kekal menyumbang besar berikutan lonjakan pelancongan domestik dan kemasukan pelawat antarabangsa.” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, sektor Pembuatan turut mengukuh apabila nilai jualan meningkat 3.3 peratus pada Jun 2025 kepada RM161.2 bilion. Subsektor makanan, minuman & tembakau melonjak 14.7 peratus, sekali gus menjadi pemacu utama pertumbuhan.
Bagaimanapun, imbangan akaun semasa mencatatkan lebihan lebih kecil iaitu RM0.3 bilion, manakala aliran masuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) sederhana pada RM1.6 bilion. Eksport pula meningkat 3.4 peratus, tetapi import lebih tinggi pada 9.0 peratus, menyebabkan lebihan dagangan menyusut ketara.
Kadar inflasi berada pada paras terkawal iaitu 1.1 peratus pada Jun 2025 dan beberapa kategori mencatatkan peningkatan perlahan termasuk restoran & perkhidmatan penginapan, manakala kos makanan kekal stabil pada 2.1 peratus.
Pasaran buruh menunjukkan perkembangan positif dengan kadar pengangguran susut kepada 3.0 peratus manakala bilangan penduduk bekerja meningkat 2.9 peratus kepada 16.85 juta orang, sekali gus memperkukuh perbelanjaan isi rumah.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan Malaysia baru-baru ini dinobatkan di tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, pencapaian besar dalam usaha memperkukuh ketelusan dan akses keterbukaan data.
Baca juga:







