PUTRAJAYA: Sektor Pembuatan Malaysia mencatatkan jualan berjumlah RM169.3 bilion pada September 2025, meningkat 4.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau yang meningkat 9.1 peratus, diikuti peralatan elektrik dan elektronik 6.4 peratus serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam 2.7 peratus.
“Pertumbuhan nilai jualan bulan ke bulan juga meningkat 0.6 peratus kepada RM169.3 bilion berbanding RM168.3 bilion pada Ogos,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi industri berorientasikan eksport yang merangkumi 72.3 peratus daripada jumlah jualan, nilai meningkat 3.8 peratus didorong oleh subsektor minyak dan lemak sayuran serta haiwan 7.8 peratus, komputer dan produk elektronik 6.1 peratus serta jentera dan peralatan 5.2 peratus.
Sementara itu, industri berorientasikan domestik turut berkembang 5.7 peratus, disokong oleh pembuatan produk pemprosesan makanan 10.5 peratus dan logam asas 4.8 peratus. Namun, pertumbuhan bulanan bagi kategori ini lebih perlahan iaitu 0.3 peratus.
Pada masa sama, jumlah pekerja sektor pembuatan meningkat 1.0 peratus kepada 2.4 juta orang, dengan pertambahan ketara dalam subsektor makanan dan minuman sebanyak 1.9 peratus serta peralatan elektrik dan elektronik sebanyak 1.4 peratus. Gaji dan upah turut naik 2.0 peratus kepada RM8.4 bilion.
Mohd Uzir berkata, bagi suku ketiga 2025, sektor pembuatan merekodkan jualan RM500.1 bilion, meningkat 3.5 peratus dengan dorongan utama daripada subsektor makanan dan minuman 9.2 peratus serta elektrik dan elektronik 5.6 peratus.
Bagi tempoh Januari hingga September 2025, jualan kumulatif industri ini mencecah RM1.5 trilion, naik 3.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Malaysia kini juga menerajui ranking global Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, bukti keupayaan DOSM sebagai peneraju statistik serantau menjelang pengerusian ASEAN 2025.
Baca juga:








