Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Kesalahan amang seksual secara fizikal melibatkan kanak-kanak tahun lalu merekodkan peningkatan ketara sebanyak 21.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Hal ini susulan 1,389 kes dilaporkan pada tahun 2023 berbanding 1,147 kes pada 2022 berdasarkan rekod Statistik Kanak-Kanak Malaysia yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Manakala ,Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula merekodkan peningkatan sebanyak 26.5 peratus pada 2023 iaitu 1,567 kes berbanding 1,239 kes seksual melibatkan kanak-kanak pada tahun 2022.
Selain itu, kesalahan amang seksual secara bukan fizikal dan pornografi kanak-kanak masing-masing merekodkan 91 dan 67 kes pada 2023.
“Daripada perspektif perlindungan, bilangan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan yang direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2023 meningkat 26.1 peratus kepada 8,536 kanak-kanak berbanding 6,770 kanak-kanak pada 2022.
“Manakala, untuk kanak-kanak perempuan mencatatkan lebih ramai yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan iaitu 5,418 berbanding kanak-kanak lelaki iaitu 3,118,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kanak-kanak di bawah umur 18 tahun berjumlah 9.14 juta iaitu 26.9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia (34.06 juta).
“Bilangan kanak-kanak lelaki dan perempuan di bawah umur 18 tahun masing-masing ialah 4.72 juta dan 4.42 juta. Sementara itu, komposisi kanak-kanak di bawah umur 5 tahun pada 2024 ialah 2.36 juta atau 6.9 peratus daripada daripada jumlah kanak-kanak di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Putrajaya merekodkan peratusan tertinggi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun pada 2024 iaitu 40.5 peratus daripada jumlah penduduk Putrajaya iaitu seramai 0.12 juta.
Seterusnya, Kelantan (34 peratus) dan Terengganu (33.2 peratus). Manakala Kuala Lumpur mencatatkan peratusan terendah iaitu 21.6 peratus selain Selangor merekodkan bilangan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tertinggi iaitu 1.83 juta diikuti oleh Sabah (1.12 juta) dan Johor (1.11 juta) dan bilangan kanak-kanak paling rendah ialah di Labuan iaitu 0.03 juta.