DOSM: Malaysia Perkukuh Piawaian Metadata, Jadi Tuan Rumah Bengkel Antarabangsa

SUNGKAI: Malaysia terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju piawaian data serantau apabila menjadi tuan rumah Bengkel Antarabangsa Advance Statistical Data and Metadata Exchange (SDMX) yang berlangsung di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Sungkai, Perak.

Bengkel anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu, dengan kerjasama UNSD, ADB dan OECD, menghimpunkan lebih 30 peserta dari lima negara termasuk Bhutan, Brunei, India, Indonesia dan Malaysia bagi memperkasa pertukaran dan penyelarasan data.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, SDMX merupakan asas penting bagi meningkatkan akauntabiliti dan impak statistik rasmi.

“Bengkel ini melengkapkan komuniti statistik untuk mengadaptasi SDMX dalam tadbir urus data yang berstruktur dan telus,” katanya.

Tambahnya lagi, pendekatan berasaskan metadata ini dapat memperkukuh ketahanan ekonomi serta dasar pembangunan yang inklusif dan berkesan.

Tiga bulan lalu, Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila menduduki tempat pertama global dalam Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 197 negara lain.

Salah satu inisiatif terbaru DOSM ialah pelancaran Papan Pemuka TaniStats, selari dengan usaha memodenkan sistem statistik dan menyokong pembangunan sektor pertanian negara.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut memimpin Mesyuarat Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN ke-15 (ACSS15) dan Persidangan Statistik ASEAN bagi mengukuhkan kerjasama serantau dalam transformasi digital dan literasi statistik.

Bengkel ini adalah kesinambungan kejayaan Malaysia dalam statistik rasmi yang turut diiktiraf menerusi sambutan Hari Statistik Negara pada 20 Oktober setiap tahun bertemakan ‘Statistik Nadi Kehidupan’.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat